MELAKA, 3 Sept -- Prestasi peserta bukan Melayu bagi pertandingan Pidato Rukun Negara peringkat Kebangsaan merebut Piala Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri amat memberangsangkan memandangkan mereka menggunakan bahasa Melayu yang amat baik walaupun daripada latar kaum yang berbeza.
Menurut Ketua Juri Kategori Bukan Melayu Habibah Jaafar, lebih menarik ada peserta yang turut memasukkan elemen pantun dan mutiara kata dalam pidato mereka bagi menunjukkan ketinggian bahasa yang mereka kuasai.
"Mungkin ada pelat sikit-sikit namun lenggok bahasa yang digunakan peserta memang mencerminkan mereka penutur bahasa Melayu yang baik," katanya dan menambah sebanyak 49 video yang diterima untuk dinilai oleh kategori berkenaan membabitkan peserta berusia 19 hingga 59 tahun.
Habibah bagaimanapun berkata pihaknya juga menghadapi kesukaran menentukan sama ada pemidato benar-benar menghafal skrip pidato mereka atau menggunakan 'prompter' ketika menyampaikan persembahan mereka.
Antara langkah yang diambil juri dalam membuat penilaian peserta adalah melihat kepada penghayatan peserta ketika merakamkan video sebelum dihantar untuk penilaian.
"Kita boleh tengok berdasarkan mimik muka peserta, kalau pandang tepat ke kamera mungkin mereka menggunakan teknologi sebagai alat bantuan. Untuk peserta yang benar-benar menghafal dan menjiwai pidato, mereka tidak akan memandang kamera secara langsung namun ia tetap menjadi cabaran kepada juri untuk menilai peserta secara keseluruhan," katanya.
Bertemakan ‘Rukun Negara Sebagai Prinsip Perpaduan Demi Kejayaan dan Kestabilan Rakyat’, pertandingan ini melibatkan lima kategori iaitu Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Institut Pengajian Tinggi, Bukan Melayu dan Awam yang menawarkan hadiah bernilai antara RM300 hingga RM5,000 bagi setiap kategori.
Hampir 1,000 penyertaan diterima dan sesi saringan telah berlangsung pada 9 hingga 13 Ogos manakala sesi separuh akhir telah berlangsung pada 16 hingga 17 Ogos lepas, dengan pertandingan akhir dijangka diadakan pada 16 Sept ini bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia.
Berikutan pandemik COVID-19, penyertaan dibuat menerusi tayangan video berdurasi 10 minit dan setiap peserta diadili oleh pakar dan ahli akademik tersohor negara mengikut kategori yang dipertandingkan.
Pertandingan ini tertumpu kepada dua daripada lima prinsip Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara dan Keluruhan Perlembagaan yang diharap dapat menyuburkan kembali semangat patriotisme dan sayangkan negara dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda.
Ketua Juri Kategori Awam Nurhasnani Abdul Wahab pula berkata pihaknya sukar menentukan 10 individu yang layak ke peringkat akhir berikutan persaingan sengit daripada kalangan peserta yang mempunyai banyak pengalaman dalam pertandingan pidato sebelum ini.
"Bagi kategori ini, peserta bukan hanya terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi semata-mata malah melibatkan golongan profesional seperti pensyarah, pegawai bank serta peguam yang pernah menyertai pertandingan pidato malah ada yang pernah menjadi johan di peringkat negeri dan ini memerlukan pemilihan yang begitu teliti," katanya dan menambah sebanyak 64 video diterima daripada peserta membabitkan usia antara 18 hingga 59 tahun bagi kategori berkenaan.
Beliau berkata peserta juga kreatif dalam menghasilkan video masing-masing berikutan tiada syarat khusus yang dikenakan penganjur kepada mereka.
"Ada yang berpakaian sangat menarik, ada yang meletakkan latar belakang yang cantik malah ada yang menyunting video.
"Justeru persaingan adalah sangat tinggi bagi kategori ini walaupun jumlah penyertaan kurang daripada 100 peserta," tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial