AM

Jenazah Lans Koperal Mohamad Azrin dibawa ke HoSHAS untuk bedah siasat

01/09/2021 05:07 PM

TEMERLOH, 1 Sept -- Jenazah Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa yang ditemukan hari ini selepas dilaporkan hilang ketika menjalani latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang, di Bera, Ahad lepas dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), di sini untuk bedah siasat.

Difahamkan jenazah Allahyarham tiba di hospital berkenaan kira-kira 11.15 pagi tadi dan ujian calitan COVID-19 akan dilakukan terlebih dahulu sebelum proses bedah siasat bermula.

Tinjauan Bernama mendapati Unit Forensik HoSHAS dikawal rapi oleh anggota tentera dan usaha media untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada ahli keluarga Mohamad Azrin juga gagal. 

Allahyarham yang merupakan anggota tinjau daripada pasukan Kompeni PANDURA (Para) dipercayai lemas dan hilang ketika menjalani latihan Eksesais PARA Predator Siri 1/2021 pada 4.40 petang, Ahad lepas.

Semasa kejadian, Mohamad Azrin sedang melaksanakan Fasa Latihan Taktikal Menyeberangi Sungai di sekitar kawasan Kampung Batu Bor. 

Mayat Allahyarham ditemukan oleh penduduk kampung di kawasan Kampung Serengkam, Maran, kira-kira 70 kilometer dari lokasi kejadian pada 8.15 pagi tadi. 

Kehilangan Mohamad Azrin turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah apabila baginda berkenan mencemar duli menaiki bot menyertai operasi mencari dan menyelamat meskipun dalam keadaan hujan semalam.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan