Oleh Mohd Faizal Hassan
KUALA KANGSAR, 30 Ogos -- Peristiwa pengeboman rasuk Jambatan Sultan Iskandar di sini, dan pertempuran Slim River sewaktu Perang Dunia Kedua kini terpahat dalam bentuk papan tanda maklumat bagi memperingati peristiwa bersejarah itu sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
Ketua Penyelidik dan Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia (MHG) Shaharom Ahmad berkata dua lokasi tersebut antara 16 lokasi di seluruh Perak yang mempunyai kesan Perang Dunia Kedua yang perlu dipulihara agar tidak pupus ditelan arus pembangunan serta pemodenan.
“Sebelum kita pasang papan tanda, kita akan membuat kajian terperinci membabitkan banyak pihak termasuk dari diari perang tentera, dan pengkaji sejarah di dalam dan luar negara. Malah ada kajian yang dibuat berpuluh tahun lamanya sebelum berjaya dibuktikan wujudnya kesan perang di negara ini.
“Kesan perang itu termasuklah kubu lama, aset ketenteraan, bangkai pesawat, batu memorial, kubur bekas tentera dan terowong bawah tanah. Sebelum ia hilang, dicuri, dimusnahkan dan sebagainya, ia perlu dipelihara dan menjadi bahan sejarah seperti dalam bentuk papan tanda maklumat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pemasangan papan tanda maklumat di Jambatan Sultan Iskandar kira-kira 50 kilometer dari Ipoh baru-baru ini, yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) Zulqarnain Mohamad.
Jelas Shaharom Ahmad, papan tanda yang dipasang di Kampung Jamuan, yang terletak di bawah Jambatan Sultan Iskandar itu antara lain memaparkan catatan sejarah penting termasuk gambar peristiwa pengeboman rasuk jambatan berkenaan oleh tentera British bagi mengekang kemaraan tentera Jepun ke Tanah Melayu pada 1942.
Menurutnya, lokasi itu juga dipilih kerana wujudnya sebuah kubu British lama yang dipercayai dijadikan markas memantau pergerakan keluar masuk ke Kuala Kangsar dan kawasan sekitar namun kini terabai selain wujudnya kesan vandalisme.
“Semasa Perang Dunia Kedua (1941-1945), jambatan yang dibina pada 1938 ini merupakan lokasi strategik bagi kemaraan tentera Jepun dari Thailand menerusi Kedah untuk ke Kuala Lumpur.
“Selain pertempuran di Kota Tampan, Lenggong, tentera British terpaksa mengebom rasuk jambatan supaya kemaraan kenderaan dan aset tentera Jepun dapat diperlahankan sehingga perlu menukar laluan lain untuk menuju ke Kuala Lumpur.
“Selepas pengeboman, tentera British berundur dari kawasan tersebut pada 22 Dis 1941. Namun mereka datang balik selepas perang tamat bagi membaiki kemusnahan di jambatan tersebut agar dapat digunakan semula,” jelasnya.
Menyentuh mengenai papan tanda maklumat di lokasi pertempuran Slim River yang dipasang sehari sebelum pemasangan papan tanda maklumat di jambatan Sultan Iskandar, Shaharom berkata ia memaparkan maklumat mengenai peristiwa penting itu yang menjadi titik tolak kekalahan British dalam Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu khususnya di Perak pada 6 Jan 1942.
“Pertempuran ini menyaksikan 1,000 korban manakala banyak kelengkapan tentera British musnah atau dirampas seperti meriam biasa, meriam antipesawat, kereta perisai dan trak.
“Antara kesan tinggalan perang yang ada termasuk batu peringatan Jepun, jambatan di Trolak, laluan jalan lama antara Trolak dan Slim River dan jambatan yang tidak dimusnahkan oleh British di Kampung Slim,” katanya.
Mengulas perancangan masa depan, Shaharom berkata pihaknya berharap dapat memasang atau menaik taraf lebih banyak papan tanda maklumat di kesemua 16 lokasi kesan Perang Dunia Kedua di negeri ini melalui kerjasama pihak berkuasa tempatan, badan bukan kerajaan dan lain-lain.
Tegasnya, ini kerana sambutan masyarakat khasnya generasi muda mengenai perisitwa bersejarah semakin meningkat berikutan perkembangan teknologi dan kemunculan media sosial yang membolehkan sesuatu kajian atau lokasi sejarah yang ditemui, dapat dihebahkan.
“Contohnya di Facebook kami, warganet ingin maklumat lebih banyak dan juga teruja untuk melawat kawasan yang dinyatakan selain menyertai webinar yang diadakan.
“Kesedaran tentang peristiwa sejarah perlu sentiasa dipertingkatkan khasnya sempena Hari Kebangsaan (esok) agar masyarakat dapat mengenang jasa dan pengorbanan anggota keselamatan serta pertahanan negara kita,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial