PUTRAJAYA, 25 Ogos -- Resolusi daripada Simposium Wanita Negara (SWN) 2021 akan dijadikan asas semakan dan penambahbaikan kepada Dasar Wanita Negara sedia ada, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Dr Maziah Che Yusoff.
Beliau berkata resolusi itu dihasilkan daripada input, idea konstruktif dan cadangan yang telah dibincangkan pada simposium tiga hari bertemakan 'Merealisasikan Pemerkasaan Wanita' yang berakhir hari ini.
Beliau berkata enam bidang utama yang dilihat perlu diberi perhatian dan diperkukuhkan untuk meningkatkan kesejahteraan wanita iaitu ekonomi, pendidikan, kepimpinan, kesihatan, keselamatan dan perundangan telah menjadi asas kepada perbincangan dalam simposium berkenaan.
Maziah berkata resolusi yang dihasilkan daripada simposium itu akan diterjemahkan dalam bentuk dasar yang komprehensif dalam usaha mendokong agenda pemerkasaan wanita dan kesaksamaan gender dalam negara.
"Pandangan, input dan idea pelbagai pihak amat diperlukan dan dapat membantu kerajaan merencana rancangan serta hala tuju baharu yang lebih realistik dan inklusif untuk menambah baik dasar dan program sedia ada khususnya untuk golongan wanita di Malaysia," katanya ketika menutup simposium itu secara maya.
Simposium julung kali itu disertai lebih 500 peserta terdiri daripada ahli akademik, wakil sektor korporat, penjawat awam, wakil golongan rentan serta wakil pertubuhan bukan kerajaan yang bertujuan memperoleh input untuk menambah baik agenda pemerkasaan wanita negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial