AM

Artis zahir nostalgia merdeka dalam lukisan sulam

25/08/2021 05:43 PM

Oleh Thivyamalini Ramalu

PUTRAJAYA, 25 Ogos -- Bagi menyemarakkan semangat patriotik sempena Sambutan Hari Kebangsaan minggu depan, artis Yuslinda Yusof, 45, menterjemahkan kecintaan kepada Malaysia menerusi siri lukisan sulam bertajuk ‘Nostalgia Merdeka’.

Menerusi laman Facebook ‘Roselin Arts and Signature’, ibu kepada tiga cahaya mata itu berkongsi hasil seninya yang terbahagi kepada 11 karya dengan tiga tema utama iaitu ‘Semangat Patriotisme’, ‘Kayuhan Kemerdekaan’ dan ‘Semangat Cintakan Tanah Airku Malaysia’.

Sekilas pandang, sulaman Yuslinda kelihatan seperti lukisan cat minyak berwarna-warni. Kehalusan seni tangan wanita itu menyerlah pada setiap helaian urat benang yang disulam kemas, yang menonjolkan kreativiti dan ketelitiannya.

“Karya ini menceritakan amalan mengibarkan Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan yang bakal tiba, iaitu merupakan satu acara tradisi dalam kalangan rakyat Malaysia setiap kali tibanya bulan Ogos.

"Setiap karya dilukis dan disulam dengan penuh ketelitian agar imej semangat patriotisme dapat diterjemahkan. Contohnya lukisan sulam menunjukkan sebuah keluarga membawa Jalur Gemilang dengan menggunakan basikal,” katanya kepada Bernama. 

Yuslinda, atau nama gelarannya Roselin, belajar menyulam menerusi pembacaan dan tutorial video.

Bekas arkitek landskap itu mula serius dengan hobi sulaman pada Mac tahun lepas, iaitu ketika bermulanya perintah kawalan pergerakan ekoran pandemik COVID-19.

Mengambil inspirasi daripada karya Jura Gric, artis lukisan sulam dari Lithuania, beliau menghasilkan siri pertama sulaman 'Nostalgia Kampung' diikuti siri kedua 'Memori Sambutan Hari Raya Aidilfitri' dan siri terkini 'Nostalgia Kemerdekaan'.

Menurutnya setiap karya adalah berbeza, namun mempunyai empat elemen wajib yang diketengahkan iaitu nostalgia, kampung, landskap dan seni bina.

“Rata-rata saya lihat pembuat sulam dalam negara lebih kepada motif tradisional seperti motif bunga, haiwan atau manusia, mahupun pemandangan negara luar, namun bagi saya Malaysia lebih unik.

"Pemandangan yang ada dalam negara tiada di negara lain, oleh sebab itu, elemen yang saya terapkan mengingatkan kita kepada asal usul tanah air tercinta," katanya yang sentiasa menyelitkan rumah tradisional Melayu, sawah padi, anak sungai, bunga kantan dan pokok kelapa dalam sulamannya.

Kesungguhan beliau dalam menghasilkan setiap produk dapat dilihat menerusi kualiti benang yang digunakannya iaitu benang sulam DMC yang diperbuat daripada 100 peratus benang kapas Mesir atau menggunakan benang sulam jenis CXC.

Setiap hasil seni Yuslinda yang lahir daripada imaginasi atau berpandukan mana-mana foto, akan dilakar kasar di atas permukaan fabrik jenis Calico menggunakan pen mudah cuci, sebelum disulam berpandukan ideanya.

Bagi menghidupkan lukisan sulamnya Yuslinda menggunakan gabungan pelbagai teknik jahitan, antaranya ‘long and short stitches’, ‘French knot stitch’, ‘seed stitch’, dan ‘back stitch’ bagi mendapatkan tekstur sulaman halus atau tebal dan beliau juga terpaksa menggunakan kanta pembesar bagi menyiapkan jahitan bersaiz kecil.

“Jenis fabrik, ukuran jarum dan ketebalan benang yang digunakan juga memainkan peranan penting bagi menghasilkan produk akhir yang berkualiti,” katanya yang mempunyai studio kecil khas di rumahnya di Shah Alam.

Menurut Yuslinda lukisan sulam yang dihasilkan 100 peratus menggunakan tangan itu, dijual dalam lingkungan harga RM1,250 hingga RM3,000.

“Anggaran masa bagi satu-satu karya boleh mengambil masa berminggu atau berbulan bergantung kepada jenis kemahiran, lukisan dan jahitan yang digunakan,” kata anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan