AM

Pelajar UMK jana pendapatan lumayan hasil perniagaan pakaian wanita

17/08/2021 06:23 PM

KOTA BHARU, 17 Ogos -- Siapa sangka, pada usia 22 tahun, Wan Nurul Aida Nazwa Wan Ahmad bukan sekadar berjaya menjadi usahawan malah pemilik kepada sebuah syarikat menjual pakaian wanita.

Bermula daripada minat terhadap dunia fesyen, pelajar tahun dua Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu kini mampu meraih pendapatan lumayan pada usia muda hasil perniagaan ‘Dwans Collection’ yang dimulakan sejak Mac tahun lepas.

Mengimbau kembali detik awal memulakan perniagaan itu, Wan Nurul Aida Nazwa berkata ia selepas beliau tidak menerima komisen sewajarnya sebagai ejen jualan pakaian.

“Oleh kerana komisen yang diterima sebagai ejen dilihat tidak berbaloi dengan usaha dilakukan, maka tercetus idea untuk saya membuka sebuah perniagaan sendiri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bercerita lanjut, Wan Nurul Aida Nazwa berkata beliau menggunakan RM500 wang simpanan sendiri untuk memulakan perniagaan itu dan kemudiannya mengeluarkan satu koleksi pakaian hasil rekaan sendiri sehingga tidak menyangka ia menarik minat pelanggan.

“Saya mengetengahkan konsep fesyen kontemporari sesuai dengan gaya penampilan wanita masa kini dengan koleksi pakaian eksklusif.

“Disebabkan enggan mengambil sebarang risiko, sebagai langkah permulaan, saya terlebih dahulu mengambil dan mengumpul pesanan daripada pelanggan secara pra-pesanan sebelum diperluaskan dari semasa ke semasa,” katanya yang yang kini sudah memiliki ruang menyimpan stok pakaian, pejabat mini dan ruang studio sendiri untuk sesi rakaman model pakaian.

Wan Nurul Aida Nazwa yang berasal dari Machang berkata pakaian keluaran syarikatnya itu disasarkan dalam kalangan wanita berusia 18 hingga 35 tahun dengan harga mampu milik di bawah RM150.

Beliau mengakui penularan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan sekatan pergerakan menjejaskan banyak perniagaan hingga terdapat pengusaha syarikat gulung tikar, justeru beliau turut berniaga secara dalam talian menerusi Facebook, WhatsApp dan Instagram bagi mengatasi masalah itu.

“Walaupun masih bergelar pelajar universiti, itu bukan halangan untuk saya menceburi perniagaan namun tidak dinafikan industri perniagaan sememangnya mencabar.

“Saya tetap mengekalkan momentum dengan sentiasa berfikiran dan belajar menambahbaik operasi perniagaan dari semasa ke semasa termasuk mendapatkan bimbingan dan tunjuk ajar daripada mentor iaitu pensyarah UMK untuk mengikuti program-program latihan keusahawanan bagi memantapkan perniagaan ini,” katanya.

Wan Nurul Aida Nazwa berkata dalam tempoh lima bulan akan datang beliau mahu ‘Dwans Collection’ terus dikenali dengan mempelbagaikan produk seterusnya membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang berminat untuk  menjadi ejen atau dropship.

“Saya mahu memantapkan lagi strategi pemasaran, pembangunan laman sesawang untuk mencapai sasaran hingga mampu mencecah hasil jualan sebanyak RM100,000 pada tahun kedua perniagaan ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan