SUKAN

MAM anjur perlumbaan maya sempena Sambutan Kemerdekaan ke-64

09/08/2021 10:29 PM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos  -- Komuniti e-perlumbaan berpeluang menguji kemahiran mereka dengan menyertai Merdeka Virtual Race anjuran Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) yang julung kali diadakan sempena sambutan kemerdekaan ke-64.

Presiden MAM Tan Sri Mokhzani Tun Mahathir berkata pusingan awal dan kelayakan perlumbaan itu, yang dianjurkan dengan kerjasama MSF, RaceRoom dan Adrenaline Impact, bermula dari 3 hingga 29 Ogos.

Beliau berkata susulan kejayaan penganjuran pertama Lockdown Virtual Championship tahun lepas, yang menyaksikan 210 penyertaan, MAM menjangkakan Merdeka Virtual Race akan menarik lebih ramai peserta pada tahun ini.

“Peserta boleh berlumba di tiga platform e-perlumbaan iaitu iRacing, Gran Turismo Sport dan RaceRoom,” katanya.

Pusingan akhir perlumbaan di platform iRacing dijadualkan pada 30 Ogos manakala pusingan akhir bagi Gran Turismo Sport dan RaceRoom akan berlangsung pada 31 Ogos.

Selain itu, pelumba berpeluang menajamkan lagi skil pemanduan maya mereka menerusi Virtual Racer Clinic yang akan diadakan pada 14 Ogos.

Kelas dalam talian selama tiga jam itu akan dikendalikan oleh tenaga pengajar dari Split Second Advanced Driving (SSAD) Rashid Ramlan.

“Meskipun terdapat kekangan disebabkan oleh situasi COVID-19, kami meneroka ruang lain untuk memastikan semangat sukan permotoran terus hidup termasuk menggunakan platform maya untuk berlumba. Ini selaras dengan peningkatan minat dan penyertaan dalam e-sukan yang semakin pesat berkembang,” kata Mokhzani.

MAM turut menjalin kerjasama dengan syarikat penyedia insurans serta takaful iaitu Etiqa dan pengeluar minyak pelincir Hi-Rev sebagai penganjur utama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan