KUALA LUMPUR, 2 Ogos -- Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia oleh IHS Markit, petunjuk angka tunggal komposit bagi prestasi pembuatan, meningkat kepada 40.1 pada Julai 2021 daripada 39.9 yang dicatatkan pada Jun 2021.
Paras kekal tidak berubah di bawah 50.0 itu merupakan bacaan terkini yang menunjukkan penurunan ketara dalam persekitaran operasi walaupun prestasi pada Jun adalah lebih lemah, menurut IHS Markit dalam nota penyelidikan pada Isnin.
IHS Markit menjelaskan pengilang Malaysia terus mencatatkan keadaan operasi yang terjejas teruk akibat peningkatan kes jangkitan COVID-19 bagaimanapun tahap pengeluaran dan pesanan baharu terus menyederhana pada Julai, dengan pengeluaran dikecilkan secara paling ketara dalam tempoh sejak April 2020.
“Dari aspek lebih positif, tahap pekerjaan adalah stabil sekali gus mengakhiri tempoh tiga penurunan berturut-turut.
“Ini susulan pengilang memperolehi tahap keyakinan baharu mengenai unjuran tahun ini, disokong oleh kemungkinan sekatan pergerakan ditarik balik dengan gelombang pandemik semasa dijangka reda dan ini akan melonjakkan permintaan domestik dan luaran,” jelasnya.
Ketua Pakar Ekonomi Perniagaan IHS Markit, Chris Williamson berkata sektor pembuatan Malaysia terus menerima kesan teruk akibat pandemik yang berterusan pada Julai, walaupun syarikat telah sedia merancang bagi tempoh akan datang yang lebih baik.
“Terdapat laporan yang lebih positif mengenai unjuran, walaupun dengan keadaan syarikat menjadi semakin optimis selepas peningkatan penularan varian Delta menyebabkan tahap keyakinan berada di paras terendah pada Jun. Lebih banyak syarikat kini menjangkakan prospek lebih baik dan pekerjaan juga stabil.
“Wujud juga laporan yang lebih baik mengenai harga. Walaupun inflasi kos input meningkat sedikit, ia terus berada di bawah kadar rendah yang dicatatkan awal tahun ini, mendorong untuk menurunkan inflasi harga jualan kepada paras terendah sejak Februari,” katanya.
Situasi domestik turut sejajar dengan kemerosotan seterusnya dalam keadaan di seluruh sektor pembuatan ASEAN pada Julai.
“Peningkatan semula kes COVID-19 dan seterusnya tindakan mengetatkan beberapa langkah pengekangan menyaksikan permintaan terus rendah, dengan pengeluaran perkilangan susut pada kadar terpantas sejak Mei 2020,” menurut IHS Markit.
PMI keseluruhan merosot kepada paras terendah dalam tempoh 13 bulan, 44.6 pada Julai bagi pasaran ASEAN, penyusutan yang lebih ketara berbanding bacaan Jun pada 49.0 menunjukkan penyusutan kelima terpantas dalam keadaan sektor yang dicatatkan, dan yang mendadak secara keseluruhan.
Pakar Ekonomi IHS Markit, Lewis Cooper berkata data PMI terkini menunjukkan para pengilang dijangka menghadapi lebih banyak cabaran pada bulan-bulan akan datang.
“Langkah sekatan sekali lagi menyekat permintaan, dan sehingga ia pemulih, sektor dijangka tidak akan mencatatkan sebarang peningkatan ketara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial