SUKAN

Terima kunjungan Sabah FC, Terengganu FC gagal kutip mata penuh

02/08/2021 12:11 AM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos  -- Terengganu FC terlepas peluang untuk mengutip tiga mata penuh selepas sekadar seri tanpa jaringan ketika menerima kunjungan Sabah FC, di Stadium Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu malam ini.

Keputusan perlawanan malam ini, membuatkan skuad Penyu itu yang masih kekal di tangga kedua dengan 31 mata selepas 16 perlawanan, dibezakan dengan lapan mata daripada pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan pula pasukan tuan rumah Sri Pahang FC, memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri dengan menewaskan PJ City FC 1-0.

Gol tunggal skuad bimbingan Dollah Salleh itu dihasilkan menerusi jaringan Aung Kaung Mann pada minit ke-15, sekali gus meletakkan pasukan itu berada di tangga kesembilan liga di belakang PJ City FC.

Aksi Liga Premier pula menyaksikan PDRM FC terikat 0-0 ketika bertemu Skuad Projek FAM-MSN dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dekat sini.

Manakala satu lagi perlawanan di antara Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dan Kelantan United FC, menyaksikan pasukan tuan rumah mengalahkan pasukan pelawat 3-0, di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin.

Dua gol JDT II dihasilkan pemain Fernando Rodriguez Ortega masing-masing pada minit ke-16 dan minit ke-61, sebelum satu lagi gol diperolehi menerusi jaringan gerakan solo Muhamad Alif Abdul Mutalib pada minit ke-86 perlawanan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan