AM

COVID: 17,150 kes baharu hari ini, kurang berbanding semalam

01/08/2021 08:59 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos -- Sebanyak 17,150 kes baharu COVID-19 dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Jumlah itu katanya kurang 636 kes berbanding 17,786 kes yang dicatat semalam. 

Dr Noor Hisham menerusi hantaran di Facebook beliau berkata kes baharu itu menjadikan kumulatif kes di Malaysia kini 1,130,422 kes.

Katanya, Selangor kekal negeri mencatat kes harian tertinggi sebanyak 6,326 kes diikuti Kuala Lumpur (2,086), Kedah (1,511), Johor (1,045) dan Sabah (1,002).

Negeri Sembilan pula merekodkan sebanyak 809 kes baharu, Pulau Pinang (752), Perak (693), Melaka (686), Pahang (676), Sarawak (578), Kelantan (459), Terengganu (429), Putrajaya (72), Perlis (21) dan Labuan (lima).

Dr Noor Hisham juga berkata kes aktif dengan kebolehjangkitan kini hampir mencecah 200,000 yang menyaksikan sejumlah 195,273 kes dilaporkan.

Beliau berkata sebanyak 11,326 kes sembuh dan 160 kematian direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan pesakit pulih ialah 925,965 manakala kes kematian 9,184.

“Kes kematian hari ini melibatkan 55 kes di Selangor, 25 kes di Kuala Lumpur, masing-masing 14 kes di Negeri Sembilan dan Johor, masing-masing 10 kes di Melaka dan Kedah, lapan kes di Pahang, tujuh kes di Sabah, enam kes  di Pulau Pinang, masing-masing empat kes di Kelantan dan Perak serta tiga kes di Terengganu.

“Seramai 140 orang merupakan warganegara dan 20 lagi bukan warganegara dengan 140 orang meninggal dunia di hospital manakala 20 lagi meninggal dunia di rumah (BID),” menurutnya dalam kenyataan media.

Dr Noor Hisham berkata daripada 17,150 kes harian yang dilaporkan hari ini, sebanyak 745 (4.3 peratus) adalah daripada kategori tiga, empat dan lima.

“Sebanyak 16,405 kes (95.7 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua. Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosis COVID-19,” katanya.

Beliau turut memaklumkan sejumlah 1,059 pesakit kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 531 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham juga berkata sejumlah 23 kluster baharu dikesan dengan 11 daripadanya melibatkan tempat kerja, lapan penularan dalam komuniti, dua membabitkan kumpulan berisiko tinggi serta masing-masing satu kluster institusi pendidikan dan pusat tahanan.

Beliau berkata berdasarkan data terkini semalam, nilai kadar kebolehjangkitan (R-naught atau Rt) COVID-19 di Malaysia ialah 1.10 dengan Perlis menjadi negeri yang mencatatkan nilai RT tertinggi (1.47) diikuti Terengganu (1.42) dan Kelantan (1.27).

Negeri lain turut mencatatkan Rt melebihi 1.0 kecuali Negeri Sembilan dan Labuan, yang masing-masing mencatat 0.90 dan 0.70.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan