AM

PKPD di Perak Tengah: 104 keluarga terima barangan basah dua hari sekali

31/07/2021 07:36 PM

PASIR SALAK, 31 Julai -- Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah akan memastikan kesemua 104 ketua rumah yang kini berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat lokaliti di daerah Perak Tengah menerima bekalan makanan termasuk bantuan barangan basah, setiap dua hari sekali.

ADUN Kampung Gajah Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata selain barangan kering seperti beras, pihaknya menyediakan beg keperluan barangan basah seperti ayam, mee, sayur, bawang dan pelbagai lagi yang bernilai RM50 bagi setiap satu beg dalam memastikan bekalan makanan penduduk mencukupi.

“Pejabat ADUN Kampung Gajah akan membekalkan barangan basah sebanyak dua hari sekali sepanjang 14 hari ini dengan sebanyak tujuh item barangan basah akan disertakan dan akan diagihkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kepada 104 ketua rumah bermula hari ini.

“Kita akan tukar-tukar. Mungkin hari ini kita beri seekor ayam, dua hari lagi kita akan beri ikan. Ini adalah inisiatif saya dalam memastikan ada pelengkap kepada makanan kering yang mereka terima,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) PKPD di Pejabat Penghulu Mukim Pasir Salak, di sini hari ini.

Kerajaan melaksanakan perintah PKPD di empat lokaliti dalam daerah Perak Tengah, Perak iaitu di mukim Bandar (Kampung Biak Hilir) serta di mukim Pasir Salak (Kampung Biak Darat, Kampung Biak Baroh dan sebahagian Kampung Pasir Salak) berkuat kuasa hari ini sehingga 13 Ogos depan.

Wan Norashikin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak berkata PKPD berkenaan melibatkan 398 individu daripada 104 keluarga dan sehingga kini sebanyak 137 individu telah dipakaikan gelang oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan angka itu akan meningkat dari semasa ke semasa sehingga kesemua penduduk dipakaikan gelang.

Dalam pada itu, Wan Norashikin berkata beliau menyeru penduduk kampung supaya mematuhi undang-undang serta prosedur operasi standard (SOP) PKPD yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan sebarang kecemasan boleh menghubungi PKTK berkenaan yang juga bilik gerakan semasa PKPD dilaksanakan.

“Saya turut dimaklumkan di pos kawalan ini (PKTK) akan turut disediakan barangan kecemasan sekiranya diperlukan seperti gas memasak atau pampers (lampin pakai buang) supaya pihak terlibat tidak risau kerana tidak dapat keluar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Polis Daerah Perak Tengah Supt Barudin Wariso berkata pihaknya berharap penduduk kampung dapat memberi kerjasama dengan baik dan sebarang urusan keluar masuk di keempat-empat lokaliti berkenaan tidak dibenarkan.

Katanya, satu sekatan jalan raya (SJR) telah diadakan di laluan utama iaitu Jalan Datuk Maharajalela Kampung Pasir Salak yang menghubungkan kesemua kampung berkenaan dengan jalan besar dan pihaknya juga telah memasang kawad duri di empat laluan keluar masuk kampung-kampung tersebut.

“Kami turut mengenal pasti lebih 10 laluan mungkin menjadi laluan tikus bagi pengguna motosikal di kawasan ladang-ladang. Namun begitu, kami akan melakukan rondaan setiap hari selama 24 jam bagi memastikan penduduk mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya sambil menambah 40 anggota polis akan bertugas sepanjang PKPD di lokaliti terbabit.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan