KUALA LUMPUR, 29 Julai -- CGS-CIMB Securities Sdn Bhd menjangkakan kadar dasar semalaman (OPR) meningkat sebanyak 75 mata asas (bps) pada penghujung 2022.
Menerusi ‘Shariah Research Reports Scheme’ bagi separuh kedua 2021 yang dikeluarkan pada Khamis, firma pembrokeran itu menjelaskan jangkaan tersebut didorong oleh unjuran ekonomi Malaysia yang lebih baik bagi 2021, dengan kenaikan pertama OPR mungkin dilaksanakan seawal Mei 2022.
“Bank Negara Malaysia mengenal pasti faktor di sebalik kenaikan inflasi keseluruhan baru-baru ini adalah ‘didorong kos’ dan ‘bersifat sementara’, yang dijngka tidak mewujudkan perubahan dasar monetari tahun ini. Ini membuatkan CGS-CIMB Securities mengulangi unjuran OPR akhir 2021 kami pada 1.75 peratus,” menurutnya.
Ia juga menjangkakan penambahbaikan ke atas pakej rangsangan oleh kerajaan seperti Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Tambahan) serta Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) menyebabkan defisit belanjawan Malaysia mencecah 7.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021.
“Kami mengunjurkan (defisit belanjawan) mengecil kepada 4.5 perattus daripada KDNK pada 2022 seterusnya mencapai 3.5 peratus daripada KDNK pada 2023, sekali gus kerajaan akan kekal di landasan untuk mencatatkan sasaran rangka kerja fiskal jangka sederhana pada 4.5 peratus daripada KDNK untuk tempoh 2021 hingga 2023,” tambahnya.
CGS-CIMB menambah, meskipun kes COVID-19 meningkat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan sejak Mei selain sekatan pergerakan penuh dikuatkuasakan mulai Jun, pihaknya yakin pencepatan vaksinasi yang pesat dan kebolehlihatan penghantaran bekalan vaksin sehingga Oktober telah meningkatkan kemungkinan sekatan pergerakan dilonggarkan dan pembukaan semua sektor ekonomi secara berperingkat selepas bulan depan.
“Senario kes asas kami bagi 2022 mengandaikan Malaysia berada di landasan baik ke arah Fasa Empat mengikut Pelan Pemulihan Negara, yang akan membolehkan semua sektor ekonomi dibuka semula, perjalanan antara negeri dibenarkan dengan beberapa pengekangan ke atas aktiviti sosial.
“Kami menjangkakan KDNK Malaysia berkembang 4.7 peratus pada 2022, dengan pemulihan perbelanjaan isi rumah dan perniagaan mengimbangi penyusutan hasil daripada eksport bersih dan langkah rangsangan,” jelasnya.
Bagi separuh pertama 2021, laporan itu menjelaskan pelabur asing terus menjadi penjual bersih ekuiti Malaysia, dengan penjualan bersih terkumpul berjumlah RM4.2 bilion.
Ia menekankan, bagaimanapun angka itu adalah lebih rendah berbanding aliran keluar bersih bernilai RM16.2 bilion pada tempoh sama 2020, yang merupakan aliran keluar bersih asing terbesar yang dicatatkan pasaran ekuiti Malaysia bagi tempoh sejak 2010.
Menurut laporan itu, aliran keluar bersih tersebut dicatatkan berikutan kebimbangan mengenai PKP 1.0, perubahan kerajaan, penularan COVID-19 selain aliran keluar bersih asing RM4.6 bilion yang dicatatkan pada enam bulan pertama 2019.
CGS-CIMB berkata dari segi aliran dana, pelabur runcit merupakan pembeli bersih terbesar pada separuh pertama 2021 dengan kedudukan belian bersih berjumlah RM8.2 bilion manakala pembeli namaan tempatan pula menjadi pembeli bersih kedua terbesar dengan belian bersih RM2.3 bilion pada tempoh yang sama.
Menurut laporan itu, sekatan pergerakan penuh yang dikuatkuasakan ke atas semua negeri pada Jun 2021 dan PKP Diperketatkan (PKPD) di Lembah Klang pada 1 Julai hingga 16 Julai, 2021 mungkin menimbulkan risiko pendapatan kepada korporat bagi prestasi kewangan sukuan kedua dan ketiga.
“Penganalisis dijangka menyemak turun unjuran pendapatan yang dibuat mereka bagi tempoh pendapatan suku kedua pada Ogos untuk menunjukkan kesan sekatan pergerakan yang berlanjutan dan penutupan perniagaan, susulan garis panduan daripada pihak pengurusan.
“Sektor yang paling terjejas teruk ekoran sekatan pergerakan adalah yang berkaitan dengan pelancongan, perjudian, hartanah, automotif, bank, pembinaan dan pengguna, manakala utiliti, telekomunikasi serta industri berorientasikan eksport adalah yang kurang terkesan,” jelasnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial