AM

72 majikan didakwa di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969

29/07/2021 05:29 PM

ALOR GAJAH, 29 Julai  -- Sebanyak 72 majikan di Melaka didakwa atas pelbagai kegagalan untuk mematuhi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 sejak Januari hingga semalam.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka Abd Razak Omar berkata kesemua majikan terbabit didakwa kerana tidak mendaftarkan perusahaan dan pekerja selain gagal membayar caruman dan tidak melaporkan kemalangan pekerja.

Beliau berkata kesemua majikan yang menggaji sekurang-kurangnya seorang pekerja diwajibkan untuk mendaftarkan pekerja di bawah Seksyen 4 dan Seksyen 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

“Kita memandang serius perkara ini kerana ia adalah tanggungjawab majikan bagi melindungi dan memastikan keselamatan para pekerjanya.

“Ada segelintirnya memberikan alasan tidak mempunyai wang untuk membayar caruman sedangkan kadar dikenakan sangat rendah malah terdapat juga ada dalam kalangan majikan yang memotong gaji pekerja tetapi tidak mencarum kepada Perkeso dan ini adalah satu kesalahan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengiringi Exco Perpaduan, Perhubungan Masyarakat Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Ismail Othman menyampaikan sumbangan Faedah Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat kepada Mohamad Shukri Hassan, 39, di Kampung Air Hitam Darat, Masjid Tanah di sini.

Mohamad Shukri menerima wang Faedah Penakat sebanyak RM650 sebulan serta Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000. 

Dia kehilangan isterinya, Monaliza Udin, 35, pada 22 Jun lepas akibat komplikasi semasa melahirkan anak keempatnya di sebuah hospital di Selangor dan meninggalkan anak berumur 10, 7, 4 tahun dan bayi berusia sebulan.

Turut menerima sumbangan sama ialah Safrina Solehi, 38, yang kehilangan suami, Mohd Harkam Harun, 40, akibat kemalangan jalan raya di Jalan Brisu-Simpang Ampat di sini, 29 Jun lepas.

Safrina yang mempunyai dua anak lelaki berumur dua dan empat tahun itu menerima Faedah Penakat berjumlah RM1,207.29 sebulan dan Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000.

Abd Razak berkata sejak Januari hingga Jun lepas, Perkeso Melaka menerima 3,177 tuntutan membabitkan pembayaran berjumlah RM9.589 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan