AM

Kelantan peruntuk RM1.4 juta bantu penduduk di PKPD

28/07/2021 07:52 PM

PASIR PUTEH, 28 Julai -- Kerajaan negeri Kelantan memperuntukkan RM1.4 juta bagi membantu penduduk yang terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di seluruh negeri berkenaan sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Datuk Mumtaz Md Nawi berkata, selain peruntukan daripada kerajaan negeri, ia juga merupakan hasil sumbangan orang ramai yang disalurkan menerusi Tabung Serambi Mekah.

“Sepanjang PKPD dikuatkuasakan di negeri ini, seramai 14,000 penerima yang merupakan ketua keluarga, telah mendapat manfaat menerusi tabung berkenaan. Setiap keluarga telah menerima sumbangan berjumlah RM100 berbentuk makanan termasuk beras,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Majlis Gimik Penyerahan Bakul Makanan kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising di pusat khidmat DUN itu, di sini hari ini.

Terdahulu, Mumtaz menyerahkan 1,800 bakul makanan, bagi meringankan beban penduduk  di 14 perkampungan di kawasan DUN Selising yang dikenakan PKPD, bermula semalam hingga 9 Ogos ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan Said Sidup berkata, seramai 100 anggota termasuk pasukan sukarelawan akan membantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), untuk mengagihkan bantuan berkenaan kepada penduduk kampung terlibat, antaranya Kampung Selising, Kampung Banggol Pak Esah, Kampung Berangan dan Kampung Alor Hijau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan