SUKAN

Kuala Lumpur City FC seri dengan Perak FC

28/07/2021 12:15 AM

KUALA LUMPUR, 27 Julai  -- Kuala Lumpur City FC sekadar berkongsi satu mata dengan Perak FC selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh, malam ini.

Satu-satunya perlawanan Liga Super yang berlangsung hari ini, anak didik Bojan Hodak  kekal berada di tangga keenam liga dengan 19 mata selepas hanya mencatat empat kemenangan dalam 15 perlawanan. 

Sementara itu, di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dekat sini, pasukan tuan rumah Projek FAM-MSN gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri apabila tewas 0-1 kepada pasukan Selangor FC 2 sebentar tadi dalam aksi Liga Premier.

Seawal wisel permulaan ditiup, anak didik Yusri Che Lah dan Michael Feichtenbeiner berterusan mencipta atur gerak dan cubaan melakukan jaringan namun keputusan kekal 0-0 hingga tamat separuh masa pertama.

 Babak kedua, Selangor FC 2 dilihat garang dengan beberapa percubaan berbahaya dilakukan untuk merobek gawang pasukan lawan sebelum berhasil mencipta gol tunggal perlawanan hasil tandukan kapten pasukan, Harith Haiqal Adam Afkar pada minit ke-59 dan keputusan kekal 0-1 sehingga tamat perlawanan.

Terengganu FC ll (TFC ll) pula berjaya mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan Negeri Sembilan FC 1-0 pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu  malam ini.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan terutamanya pada babak kedua tetapi TFC II lebih bernasib baik pada malam ini ini selepas mendapat gol tunggal menerusi jaringan Jordan Mintah pada minit ke-66 perlawanan.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan