SUKAN

Tomas mahu Penang FC fokus perlawanan menentang UiTM

27/07/2021 11:58 PM

KUALA LUMPUR, 27 Julai -- Ketua jurulatih Penang FC Tomas Trucha, mahu barisan pemainnya kekal fokus dan bersemangat pada aksi menentang UiTM FC di Stadium UiTM Shah Alam, malam esok.

Beliau mengakui mental dan moral pemainnya sedikit terjejas, apabila perlawanan berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Sabtu lepas, terpaksa ditangguhkan ekoran terdapat pemain Kedah yang disahkan positif COVID-19, tatkala segala persiapan telahpun dibuat untuk beraksi.

Trucha menyifatkan perlawanan menentang UiTM FC sebagai satu perlawanan sengit, apabila pasukan universiti itu dijangka muncul dengan beberapa muka baharu, yang pastinya akan memberi tentangan hebat.

Walaupun UiTM FC kini di tangga terakhir Liga Super, beliau menganggap bahawa pasukannya akan berdepan dengan lawan yang telah bekerja keras untuk terus kekal di saingan liga, dan apa sahaja boleh berlaku.

“Sewaktu aksi berdepan Kedah terpaksa ditangguhkan, ia sememangnya di luar kawalan kita semua jadi penting untuk saya pastikan pemain kekal fokus dan terima dengan perubahan perancangan untuk aksi malam esok.

“Jadi, saya tekankan kepada pemain saya agar jangan sesekali ambil mudah dan tiada satu pun perlawanan yang senang untuk kita, kerana semua pasukan bekerja keras sebelum ini untuk kembali beraksi,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Sementara itu, pengendali Sabah FC Kurniawan Dwi Yulianto tidak mahu pasukannya membuat kesilapan mudah, apabila turun berdepan Sri Pahang FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, esok.

Selepas tewas tipis 1-0 menerusi jaringan minit-minit akhir kepada Petaling Jaya City FC Sabtu lepas, pengendali dari Indonesia itu berkata, pasukannya tidak boleh lagi tewas supaya dapat meletakkan jurang yang lebih besar daripada zon penyingkiran, apabila berada di tempat kelapan dengan 16 mata.

“Yang pasti adalah fokus untuk 90 minit, kerana saya selalu ingatkan bahawa 15 minit awal dan 15 terakhir adalah cukup penting untuk pemain. Ia terbukti apabila kita tewas dengan gol mudah pada minit terakhir dan saya mahu selepas ini, pemain sentiasa menganggap setiap perlawanan itu adalah aksi final.

“Sekarang kedudukan semakin berbahaya, jurang mata juga tidak jauh, jadi kita tidak boleh biarkan kesilapan mudah memberi kesan negatif kepada pasukan”, jelasnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan