AM

Mayat lelaki pakai gelang kuarantin, negatif COVID-19

27/07/2021 09:51 PM

KUALA TERENGGANU, 27 Julai  -- Mayat lelaki dengan tangan memakai gelang kuarantin berwarna putih yang ditemukan terapung di Sungai Terengganu, berdekatan Kampung Banggol Cempedak, di sini petang semalam disahkan negatif COVID-19.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Abdul Rahim Md Din berkata lelaki berusia 36 tahun itu sepatutnya memotong gelang kuarantin tersebut pada 18 Julai lepas, namun gagal dihubungi pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Terengganu.

"Susulan penemuan mayat berkenaan yang menjadi tular di media sosial, waris mangsa telah tampil ke Balai Polis Cabang Tiga pada pukul 12 tengah malam tadi bagi  membuat laporan kehilangan ahli keluarga. 

Identiti lelaki terbabit telah disahkan oleh kakaknya yang berusia 38 tahun hasil daripada pengecaman fizikal dilakukan di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pagi tadi," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini hari ini.

Abdul Rahim memberitahu kali terakhir mangsa dihubungi kakaknya pada Jumaat lepas sebelum mereka terputus hubungan.

Mangsa tinggal berseorangan di Kampung Batu Hampar, Manir di sini sementara kakaknya menetap di tempat lain, katanya. 

Abdul Rahim berkata hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat tidak menemui sebarang unsur jenayah.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat telah dituntut oleh ahli keluarga kira-kira pukul 3 petang tadi untuk proses pengebumian.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan