KUALA LUMPUR, 26 Julai -- Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia dipercayai terbabit kegiatan penipuan pinjaman tidak wujud dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ismail, di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur ACP Mohd Mahidisham Ishak berkata serbuan dilakukan di premis berkenaan susulan laporan diterima daripada mangsa pada 17 Julai lepas.
"Suspek yang ditahan berusia 30 hingga 36 tahun. Turut dirampas dalam serbuan itu ialah 10 telefon bimbit, 'router', modem dan buku nota yang disyaki digunakan dalam kegiatan berkenaan.
"Mangsa mengalami kerugian sebanyak RM34,959 dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menawarkan pinjaman kepada mangsa menggunakan media sosial seperti Facebook, Instagram dan WeChat.
Menurutnya jika mangsa bersetuju dengan tawaran pinjaman itu, mereka perlu membayar deposit, insurans serta kos memproses pinjaman, dan pembayaran pula dibuat ke dalam akaun bank keldai akaun.
"Mangsa hanya menyedari ditipu selepas pembayaran dibuat manakala pihak terbabit pula gagal dihubungi," katanya.
Tambahnya, ketiga-tiga suspek berkenaan baru sahaja bekerja dengan sindiket itu sejak sebulan lepas.
Mahidisham seterusnya menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya tawaran iklan mempromosi pinjaman wang dengan kadar faedah rendah serta jaminan memproses pinjaman dengan cepat tanpa syarat ketat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial