EKONOMI

SME Bank sasar pertumbuhan pinjaman sederhana berikutan PKS terjejas

25/07/2021 08:26 PM

Oleh Sharifah Pirdaus Syed Ali

KUALA LUMPUR, 25 Julai  -- SME Bank menyasarkan pertumbuhan pembiayaan yang sederhana sebanyak RM400 juta tahun ini berbanding RM934 juta yang direkodkan pada 2020 berikutan aktiviti ekonomi domestik yang terus perlahan akibat pandemik COVID-19.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Aria Putera Ismail berkata kemerosotan pertumbuhan pembiayaan adalah seiring dengan sentimen perniagaan yang suram, di tengah-tengah ketidaktentuan semasa ekoran pandemik.

“Langkah pembendungan yang meluas seperti kawalan pergerakan dan penutupan sempadan antarabangsa telah menggalakkan situasi permintaan luaran yang lemah serta memberi kesan terhadap ekonomi domestik.

“Melalui krisis ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini, ekonomi Malaysia menyaksikan penguncupan lebih buruk dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) merosot 5.6 peratus pada 2020 berbanding pertumbuhan positif 4.3 peratus pada 2019,” katanya kepada Bernama dalam temu bual menerusi emel. 

Aria berkata SME Bank yang menumpukan kepada pembiayaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerima impak langsung memandangkan PKS mengalami kemerosotan hampir 90 peratus ketika tempoh pembendungan awal.

Beliau berkata, ini diikuti krisis mudah tunai akibat kekangan aliran tunai yang buruk dan gangguan dalam rantaian bekalan.

“Melangkah ke hadapan, kami menjangka pemulihan PKS dan ekonomi Malaysia pada tahun ini dan 2022 adalah secara berperingkat. Ia akan disokong oleh kelonggaran sekatan dan perdagangan global yang semakin baik, disertai sokongan dasar yang berterusan, bantuan rangsangan dan yang lebih penting, kejayaan program inokulasi COVID-19,” katanya.

Ketika ditanya sama ada terdapat peningkatan bagi pinjaman tidak berbayar, Aria berkata, nisbah terjejas kasar bank adalah 16 peratus sehingga 31 Dis 2020.

Mengambil kira impak pandemik COVID-19 dan persekitaran perniagaan yang mencabar, beliau berkata bank itu akan berusaha untuk meningkatkan atau sekurang-kurangnya, mengekalkan tahap itu.

Menurut Aria, SME Bank telah menguruskan lembaran imbangan dan kualiti asetnya dengan berhati-hati sepanjang tempoh yang tidak pernah berlaku sebelum ini, yang memberi peluang lebih baik kepada bank itu untuk mengembangkan perniagaan dengan penampan mencukupi terhadap potensi risiko dan cabaran yang mungkin berlaku.

“Kami mempunyai strategi untuk menguruskan impak kawalan pergerakan dan akan melakukan yang terbaik bagi meningkatkan nisbah terjejas kasar kami pada 2021.

“Ia akan dilakukan menerusi langkah terperinci ke atas portfolio sedia ada dan membuat langkah penstrukturan semula dan penjadualan semula yang proaktif terhadap pembiayaan yang terjejas bagi menangani kekangan pembayaran pelanggan,” katanya.

Sementara itu, mengenai terbitan Sukuk Wakalah Kelestarian pertama SME Bank berjumlah RM500 juta yang mencatatkan bidaan akhir RM1.78 bilion dalam proses penetapan harganya apabila dibida lebih 3.5 kali ganda, Aria berkata permintaan terhadap bon berkaitan kelestarian akan terus menerima daya tarikan berikutan penawaran yang masih terhad.

“Melalui pertumbuhan KDNK pada 2021 yang dijangka disokong industri berorientasikan eksport yang menerima manfaat daripada pembukaan semula ekonomi maju meskipun dalam persekitaran makroekonomi domestik yang mencabar pada masa ini, bank berpendapat ekonomi Malaysia diunjur mencatatkan pemulihan dalam jangka sederhana.

“Oleh itu, kami meletakkan diri dalam kedudukan yang memberi manfaat, bukan sahaja untuk mempercepatkan pertumbuhan kami, namun pada masa yang sama memenuhi keperluan pembiayaan dan pembangunan melalui hasil terbitan sukuk ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan