KUALA LUMPUR, 25 Julai -- Atlet gimnastik artistik lelaki negara Jeremiah Loo Phay Xing berazam untuk kembali bangkit memperbaiki prestasinya di Sukan Olimpik Paris 2024, selepas mempamerkan persembahan kurang memuaskan di Tokyo semalam.
Jeremiah menamatkan saingan pada penampilan sulungnya di temasya itu pada kedudukan ke-62 daripada 66 atlet bertanding, selepas mengumpul 67.498 mata dalam pusingan kelayakan acara all-around individu lelaki di Pusat Gimnastik Ariake.
Gimnas berusia 23 tahun itu menduduki tempat ke-19 daripada 22 peserta dalam disiplin senam lantai selepas memperoleh 13.100 mata, diikuti kekuda berpelana (12.266 mata), gelang roman (7.700 mata), melombol (12.466 mata), palang imbangan (10.200 mata) dan palang tunggal (11.766 mata).
Hanya 24 gimnas terbaik, dengan maksimum dua wakil daripada setiap negara layak ke pusingan akhir yang akan berlangsung pada 28 Julai.
Jeremiah mengakui bahawa persembahan suram dan tersingkir awal dari pentas Olimpik Tokyo adalah disebabkan persiapan yang agak singkat dilakukannya sebelum temasya itu.
“Saya hanya mengetahui mengenai penyertaan saya di Olimpik Tokyo sebulan sebelum temasya bermula.
“Saya menyasarkan untuk layak ke Olimpik Paris 2024 dan harap dapat melakukan yang lebih baik di sana nanti,” katanya dalam klip video dimuat naik di laman Facebook Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini.
Bagaimanapun, atlet kelahiran Pulau Pinang itu berkata beliau telah memberikan yang terbaik dan menyifatkan pengalaman beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu sebagai sesuatu yang ‘hebat’.
Jeremiah turut mengakui telah mempelajari banyak perkara daripada atlet lain di Jepun dan gembira dapat berkongsi pentas yang sama dengan gimnas terbaik dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial