SUKAN

Misi Peng Soon-Liu Ying di Tokyo berakhir dengan kekecewaan

25/07/2021 01:11 PM

TOKYO, 25 Julai  -- Misi beregu campuran utama negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 berakhir dengan kekecewaan selepas mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam saingan peringkat kumpulan, hari ini.

Turun beraksi dalam misi wajib menang di Musashino Forest Sport Plaza, Tokyo, segalanya tidak menjadi buat pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu apabila tunduk 21-12, 21-15 kepada pasangan Jerman Mark Lamfuss-Isabel Herttrich.

Kesilapan demi kesilapan dilakukan pasangan negara yang memberi mata mudah kepada Lamfuss-Herttrich menyaksikan gandingan di ranking ke-15 dunia itu memerlukan 41 minit untuk mengesahkan kemenangan mereka.

Kekalahan kedua yang hadir selepas mereka tewas kepada pasangan Hong Kong Tang Chun Man-Tse Ying Suet, 18-21, 21-10, 16-21 semalam, hampir pasti menutup peluang Peng Soon-Liu Ying untuk mara ke pusingan suku akhir, apabila kini mereka berada di kedudukan tercorot Kumpulan D.

Ia sekali gus menyaksikan gandingan yang menghuni ranking ketujuh dunia itu hampir pasti perlu mengucapkan selamat tinggal lebih awal kepada temasya sukan berprestij ini.

Peng Soon-Liu Ying bagaimanapun akan melengkapkan saingan kumpulan menentang pasangan nombor dua dunia Wang Yilyu-Huang Dongping dari China, esok.

Sementara itu, pada petang ini perseorangan utama lelaki negara Lee Zii Jia akan membuat penampilan sulungnya di temasya Sukan Olimpik apabila dijadual turun beraksi menentang pemain Ukraine Artem Pochtarov dalam aksi Kumpulan M pukul 6.40 petang (5.40 petang waktu Malaysia).

Zii Jia dan Pochtarov memiliki rekod pertemuan seimbang 1-1 dengan kali terakhir kedua-dua pemain bertembung pada November 2017 yang menyaksikan Zii Jia menang 21-12, 21-11.

Sementara itu beregu wanita negara Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang dijadual menentang Yuki Fukushima-Sayaka Hirota dari Jepun pada pukul 7.20 malam (6.20 petang waktu Malaysia) perlu melakar kemenangan untuk menghidupkan peluang mara ke suku akhir selepas tewas pada aksi pertama, semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan