AM

Maybank sumbang 175 unit komputer riba kepada tiga sekolah di Perlis

24/07/2021 03:43 PM

KANGAR, 24 Julai -- Maybank Kangar melalui Yayasan Maybank menyumbangkan 175 unit komputer riba jenama Dell kepada 175 murid dari keluarga dalam kategori B40 di tiga sekolah di Perlis untuk memudahkan pelajar berkenaan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Pengurus Maybank Kangar Zulkifli Md Isa berkata 3,200 unit komputer riba diagihkan Maybank kepada 34 buah sekolah di seluruh Malaysia, dan 175 daripadanya di Perlis.

"Kami berharap lebih ramai pelajar terutamanya mereka yang kurang berkemampuan dan daripada komuniti pedalaman akan dapat ikut serta dalam pembelajaran secara dalam talian," katanya kepada pemberita pada sesi penyerahan sumbangan komputer riba secara pandu lalu di Sekolah Kebangsaan Beseri di sini hari ini.

Hadir sama menyampaikan sumbangan itu Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Azman Mohd Yusof.

Zulkifli berkata sumbangan itu disalurkan menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan diselaraskan kepada tiga sekolah, dengan pecahan 58 unit di Sekolah Kebangsaan Beseri, 54 Sekolah Kebangsaan Titi Tinggi dan 63 unit di Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Nangka.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis Naharudeen Othman berkata sumbangan itu secara tidak langsung membantu meningkatkan kualiti penerimaan maklumat kepada para pelajar.

"Pelajar masa kini sangat terdedah kepada konsep teknologi maklumat (IT), dengan adanya gajet ini yang disertakan data (internet) mengikut kesesuaian lokaliti, ini merupakan titik permulaan kepada konsep pembelajaran terkini," katanya.

Sementara itu salah seorang penerima sumbangan, Zafuan Wahid, 39 dari Kampung Dato Sheikh Ahmad di sini berkata beliau berasa lega apabila anaknya Mohd Ammar Zafran Zafuan,10, yang kerap meminjam telefonnya untuk mengikuti PdPR kini menerima komputer riba lengkap dengan akses internet.

"Saya hanya petani dan pendapatan cukup untuk menampung perbelanjaan harian sahaja, jadi tak mampu belikan dia (Mohd Ammar) komputer riba, hari ini dia gembira terima komputer riba dan tidak sabar mahu menggunakannya, selain tidak perlu meminjam telefon saya lagi," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan