BALIK PULAU, 23 Julai -- Polis menahan seorang penganggur bagi membantu siasatan berhubung kes peras ugut melibatkan tawaran perkhidmatan seks secara dalam talian dalam serbuan di Pontian, Johor semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata suspek berusia 24 tahun itu ditahan selepas laporan polis dibuat oleh seorang lelaki di sini, yang menjadi mangsa peras ugut sehingga mengalami kerugian RM450 dalam kejadian pada 16 Julai lepas.
Beliau berkata pekerja kilang berumur 20 tahun itu menjadi mangsa apabila diperas ugut semasa cuba melanggan pakej perkhidmatan seks secara dalam talian, dan susulan penahanan suspek di Pontian, polis merampas sebuah telefon bimbit, sekeping kad ATM serta 28 keping kad sim.
“Susulan penahanan lelaki itu polis berjaya menyelesaikan empat kes membabitkan kejadian Pulau Pinang serta Selangor, dan siasatan mendapati suspek telah menjalankan kegiatan itu sejak 2019 dengan memperoleh keuntungan sekurang-kurangnya RM34,000, katanya ketika dihubungi hari ini.
Kamarul Rizal berkata suspek yang mempunyai satu rekod jenayah serta dua rekod kesalahan narkotik direman tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, dan beliau seterusnya meminta kerjasama orang ramai yang pernah menjadi mangsa lelaki itu agar tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial