KUALA LUMPUR, 23 Julai -- Pertama Digital Bhd meningkatkan kepentingan ekuitinya dalam syarikat perisian teknologi kerajaan Dapat Vista (M) Sdn Bhd kepada 24 peratus.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Pertama Digital berkata kepentingan itu akan diperolehi menerusi opsyen berkontrak oleh anak syarikatnya, Television Airtime Services Sdn Bhd (TAS) daripada pemegang saham lain Dapat Vista, HeiTech Padu Bhd.
Katanya, di bawah kontrak yang ditandatangani pada 2019, TAS berhak untuk mengambil alih sehingga 60 peratus saham biasa dalam Dapat Vista sehingga Disember 2023.
“Sebelum 2020, TAS merupakan pemegang saham 20 peratus Dapat Vista, manakala HeiTech Padu memegang baki 80 peratus. Penyelesaian pengambilalihan ini akan menyaksikan TAS meningkatkan pemegang saham biasa kepada 80 peratus, manakala HeiTech Padu menjadi pemegang saham 20 peratus,” katanya.
Pengarah Eksekutif Sabri Ab Rahman berkata, walaupun TAS diberikan tempoh dua tahun lagi untuk menyelesaikan pengambilalihan itu, syarikat itu kini turut mengambil peluang dalam usaha pendigitalan global
“Pertama Digital akan memanfaatkan aliran peningkatan peniagaan secara konsisten oleh Dapat Vista pada sepanjang pandemik ini dan memanfaatkan pelaburannya dalam TAS. Sudah tentu, ini amat bersesuaian dengan sumbangan Dapat Vista yang lebih besar ke atas keuntungan Pertama Digital,” katanya.
Pada Mei 2020, Pertama Digital mengambil alih 51 peratus kepentingan dalam TAS iaitu syarikat pemegangan Dapat Vista yang memiliki dan mengendalikan portal SMS kerajaan, mySMS, pembayaran mudah alih MyPay serta eJamin, penyelesaian bayaran jaminan mahkamah menerusi telefon pintar pertama di dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial