BERITA TERGEMPAR | Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | |
KUALA LUMPUR, 21 Julai -- Scanwolf Corporation Bhd (Scanwolf) menjangka dapat mengekalkan pertumbuhan perolehan dua digit pada tahun kewangan 2022, didorong permintaan yang tertangguh terhadap perabot selepas pelaksanaan vaksinasi yang dapat membantu ekonomi pulih.
Pengarah Eksekutif, Ng Chee Wai berkata pemulihan ekonomi yang kukuh akan memacu permintaan bagi perniagaan produk kemasan plastik untuk perabot yang dijalankan Scanwolf.
“Maklum balas pelanggan dan penyelidikan yang dilakukan oleh pasukan pemasaran kami menunjukkan pesanan perabot akan terus memperoleh momentum dalam jangka pendek,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Scanwolf juga menjangka dapat menyelesaikan terbitan hak bagi saham pinjaman tidak bercagar boleh tukar tidak boleh ditebus (ICULS) dengan waran pada awal Ogos dalam usaha mengumpul dana bagi peningkatan barisan pengeluarannya.
Kapasiti maksimum bagi barisan pengeluaran dijangka dapat ditingkatkan sebanyak 45 peratus sebulan menerusi langkah korporat itu yang akan mengumpul dana sehingga RM10.5 juta.
Ng berkata pemangkin lain yang akan merangsangkan permintaan terhadap perabot adalah peralihan kepada bekerja di rumah, yang akan meningkatkan permintaan pengguna sekali gus membantu mengoptimumkan persekitaran bekerja dari rumah.
“Selain itu, lencongan pesanan ke Malaysia, bukannya China, oleh pengimport Amerika Syarikat (AS) dalam situasi perang perdagangan berlarutan di antara AS dengan China juga akan memberi manfaat kepada peserta industri perabot di negara ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial