TUMPAT, 21 Julai -- Seorang usahawan kosmetik hari ini mengambil inisiatif mengedarkan daging korban dan sayuran segar kepada 600 asnaf di sekitar Pasir Pekan, di sini.
Mohd Faizul Rohban Ahmad berkata pengagihan menerusi Program Korban Kaseh 4.0 yang dilaksanakan secara tahunan oleh syarikatnya sejak 2018 itu bagi memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan menikmati daging segar.
Beliau yang dibantu isteri, Norbaizura Ibrahim berkata sumbangan itu juga mengambil kira situasi pandemik COVID-19 dan keadaan ekonomi ketika ini yang menyebabkan ramai pihak terjejas.
"Apa yang saya lakukan adalah satu kepuasan kerana sekurang-kurangnya rezeki yang saya peroleh dapat dikongsikan dengan golongan kurang berkemampuan," katanya kepada pemberita selepas pengagihan daging korban kepada penerima di Masjid Paloh Pasir Pekan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Faizul yang lebih dikenali sebagai 'Joe Arjuna Kaseh' menjelaskan kuantiti penerima daging korban kali ini juga ditambah sekali ganda berbanding tahun sebelumnya yang hanya melibatkan antara 200 hingga 300 penerima sahaja.
Seorang penerima, Zulkifli Ismail, 41, berkata dia berasa bertuah kerana kali pertama menerima sumbangan daging korban oleh pihak Arjuna Kaseh.
Zulkifli yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) kerana tidak mampu berjalan ekoran masalah saraf dari paras pinggang ke bawah turut mengucapkan terima kasih dan berharap program seumpama itu diteruskan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial