AM

Kapal korek terbakar, 11 kru selamat

19/07/2021 11:48 PM

SHAH ALAM, 19 Julai -- Sebuah kapal korek MV SHI XIAN 156 telah mengalami kebakaran di kedudukan lebih kurang 0.3 batu nautika Sungai Chondong Besar, Pulau Indah pada jam lebih kurang 12.48 tengah hari tadi, menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Pengarah Maritim Negeri Selangor Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata sebaik menerima aduan, bot Maritim Malaysia telah digerakkan ke lokasi kejadian bersama Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, serta bot pemantau dari Lembaga Pelabuhan Klang, bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat termasuk membuat kawalan keselamatan di lokasi.

“Kapal tersebut membawa 11 orang kru, empat daripadanya warga Indonesia, manakala tujuh lagi warga China, yang dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan dan dipindahkan ke daratan terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rosli berkata, kerja-kerja pemadaman api masih giat dilakukan berikutan terdapat tangki minyak di bawah tempat kebakaran, namun berjaya dikawal sepenuhnya oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam tempoh masa lebih kurang enam jam.

“Setakat ini tiada tumpahan minyak dilaporkan berlaku dan Maritim Malaysia akan membuat pemantauan berterusan,” katanya.

Maritim Malaysia menasihatkan agar komuniti maritim, sentiasa peka mengenai keselamatan di laut dan bersiap sedia dengan sebarang kejadian yang tidak diingini di laut bagi mengelakkan kehilangan nyawa serta harta benda.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan