EKONOMI

Maybank teruskan perjalanan mampan sedekad untuk masa depan lebih baik

19/07/2021 09:06 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai -- Malayan Banking Bhd (Maybank) akan meneruskan perjalanan kemampanan sedekad dengan komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) jangka panjang berikutan kumpulan perbankan itu memacu perubahan untuk masa depan yang lebih baik.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Abdul Farid Alias berkata bank itu akan memastikan semua keputusan perniagaan utama adalah berdasarkan prinsip ESG dengan meletakkan pelanggan dan masyarakat sebagai keutamaan dalam semua yang dilakukan oleh kumpulan itu.

Bercakap pada taklimat media mengenai Hari Kemampanan Maybank, beliau berkata komitmen itu adalah sebahagian daripada pelan strategik lima tahun kumpulan (M25) yang menumpukan kepada pencapaian pertumbuhan mampan menerusi peralihan yang bertanggungjawab kepada ekonomi berkarbon rendah.

Beliau berkata, pada masa yang sama, ia juga bertujuan untuk memperkasa masyakarat dan menunjukkan kepimpinan melalui teladan menerusi amalan tadbir urus yang baik. 

Menurutnya komitmen itu akan memberikan pemahaman yang lebih baik mengenai bagaimana kumpulan itu akan mengutamakan isu-isu material dan mendefinisikan semula agenda kemampanan, termasuk menetapkan matlamat, sasaran dan petunjuk prestasi utama.

“Sejajar dengan usaha ini, kami telah menaik taraf majlis kemampanan kumpulan kami kepada exco jawatankuasa kemampanan dan menubuhkan lembaga jawatankuasa kemampanan untuk memperkukuhkan komitmen kami bagi memacu agenda kemampanan pada masa depan,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada empat komitmen kemampanan utama kumpulan itu menjelang 2025, Maybank berhasrat menggerakkan pembiayaan mampan sebanyak RM50 bilion, menambah baik kehidupan sejuta isi rumah di seluruh ASEAN, mencapai aktiviti kemampanan selama sejuta jam setahun dan menyampaikan 1,000 hasil yang signifikan melibatkan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Maybank turut komited untuk mencapai kedudukan karbon-neutral menjelang 2030 dan sifar bersih pelepasan karbon menjelang 2050.

Dari segi komitmen pembiayaan mampan, beliau berkata sejak 2017, kerajaan telah melabur sebanyak RM9.78 bilion dalam pelbagai projek tenaga boleh diperbaharui.

Abdul Farid berkata pada Januari 2020, lembaga Maybank turut meluluskan pendirian kepada tiada penebangan hutan, tiada tanah gambut, tiada eksploitasi (NDPE) yang terpakai untuk semua sektor berkaitan, termasuk, tetapi tidak terhad kepada minyak sawit, perhutanan, pembalakan, pembinaan serta hartanah. 

“Kumpulan ini juga tidak akan menyediakan pembiayaan kepada aktiviti yang disenarai hitam yang dianggap tidak seiring dengan nilai utama kumpulan serta ketiadaan pembiayaan untuk aktiviti baharu arang batu, melakukan peralihan bersama peminjam baharu untuk mencapai campuran tenaga boleh diperbaharui yang mampan untuk jangka sederhana dan panjang,” katanya.

Mengenai RM50 bilion yang akan digerakkan di bawah pembiayaan mampan, Ketua Pegawai Kemampanan kumpulan perbankan itu Shahril Azuar Jimin berkata, komitmen itu merangkumi pinjaman langsung atau pelaburan dan perkhidmatan berkaitan penyusunan, sindiket, pengumpulan dana atau penajajaminan, serta penasihat, yang semuanya akan mengintegrasikan kriteria ESG.

Ketika ini, Maybank sedang membangunkan rangka kerja produk kemampanan untuk melengkapkan usaha sedia ada dalam bidang kewangan mampan, yang disasarkan pelaksanaannya pada tahun ini.

“Rangka kerja ini, antara lain, menggariskan metodologi dan prosedur untuk mengelaskan produk dan perkhidmatan kewangan yang ditawarkan Maybank kepada pelbagai kategori - penyelesaian hijau, mampan dan/atau peralihan,” kata Shahril.

Bank itu akan turut meningkatkan bon/sukuk hijau, sosial dan kemampanan, pembiayaan untuk projek hijau, dana bertemakan ESG dan menyediakan penyelesaian hijau baharu.

-- BERNAMA


 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan