AM

APMM Perak rampas 64 set bubu naga bernilai RM7,680

16/07/2021 04:24 PM

LUMUT, 16 Julai  -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas 64 set bubu naga bernilai RM7,680, kira-kira tiga batu nautika barat daya Pulau Talang, Segari, dekat sini, semalam dan Rabu lepas. 

Pengarah Maritim Negeri Perak Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata kesemua bubu naga itu dikesan bot peronda APMM yang melakukan rondaan Op Pintas dan Op Sayong di perairan itu.

“Sebanyak 42 set bubu naga dirampas di kawasan itu pada Rabu lepas manakala 22 lagi dirampas pada 3.15 petang semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrizan berkata pemeriksaan mendapati pelampung digunakan sebagai penanda kepada kesemua bubu naga itu, yang dipercayai dipasang oleh nelayan tidak bertanggungjawab bagi meraih hasil dengan jalan mudah.

Beliau berkata kesemua bubu naga yang dianggarkan bernilai RM120 seunit itu dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

“Penggunaan alat penangkapan jenis bubu naga masih berleluasa meskipun operasi dan rampasan telah dilakukan di perairan berkenaan.

“Penangkapan ikan atau hasil laut menggunakan bubu naga boleh mengancam pertumbuhan habitat marin dan pupus serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan