AM

Zakat Pulau Pinang salur RM208,000 bantu kariah masjid

16/07/2021 12:44 PM

GEORGE TOWN, 16 Julai  -- Zakat Pulau Pinang (ZPP) menyalurkan peruntukan sebanyak RM208,000 sebagai inisiatif membantu kariah 208 masjid di negeri ini dalam tempoh Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara ketika ini.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata ZPP amat menyedari situasi sukar ketika ini yang memberi kesan kepada tabung masjid ekoran jumlah kehadiran jemaah terpaksa dihadkan.

"ZPP bersetuju untuk memberikan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada setiap masjid di seluruh negeri dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM208,000.

"Sumbangan tersebut diharapkan dapat membantu sedikit sebanyak tabung masjid yang semakin berkurangan akibat jumlah jemaah solat yang terpaksa dihadkan,” katanya dalam sidang media melalui aplikasi Zoom di sini hari ini.

Ahmad Zakiyuddin berkata ZPP juga telah meluluskan peruntukan berjumlah RM300,000 melalui Tabung Bantuan Kemanusiaan Zakat Pulau Pinang (TBK ZPP) bagi membantu rakyat Palestin dengan sumbangan dibuat melalui pertubuhan bukan kerajaan yang aktif.

Beliau berkata sebanyak RM38,000 turut diperuntukkan melalui tabung sama untuk sumbangan kepada masyarakat Islam negara lain seperti Thailand, Laos, Philipina dan masyarakat Rohingya di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP Amran Hazali dalam sidang media sama berkata kutipan zakat fitrah pada tahun ini dilihat meningkat berbanding tahun sebelumnya.

"Bagi tahun ini, sebanyak RM6,020,413.68 kutipan zakat fitrah diperoleh melibatkan sejumlah 775,422 orang pembayar berbanding RM5,560,586.81 melibatkan sebanyak 756,948 orang pembayar, tahun lepas.

"Jumlah kutipan zakat fitrah itu menunjukkan bahawa ZPP telah mencapai sasaran iaitu sebanyak RM6 juta bagi tahun ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan