KUALA LUMPUR, 15 Julai -- Berjaya Corporation Bhd (BCorp) menyasar untuk menubuhkan sebuah amanah pelaburan hartanah (REIT) hospitaliti dalam jangka panjang, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Abdul Jalil Abdul Rasheed.
Beliau berkata REIT hospitaliti itu hanya akan menumpukan hotel bertaraf lima bintang yang menjadi miliknya berbanding yang dikendalikan kumpulan.
Model pengoperasian bahagian hospitaliti BCorp kini beralih secara beransur-ansur kepada model pemilik daripada model pengendali, katanya.
Beliau berkata pada masa ini pihaknya memiliki sebuah hotel dan menguruskannya di bawah jenama Berjaya namun pada masa depan hotel tersebut mungkin tidak lagi wujud dan BCorp hanya akan menjadi pemilik semata-mata.
“Seperti apa yang kami lakukan ke atas Hotel Four Seasons di Kyoto, Jepun, di mana kami memiliki hartanah itu namun ia diuruskan oleh pengendali antarabangsa dan pakar.
“Itulah ideanya, bagi segmen hospitaliti untuk jangka panjang, kami mahu mempunyai sebuah REIT hospitaliti, yang miliki hanya hotel lima bintang, tidak diuruskan oleh kami sebaliknya kami sebagai pemilik,” katanya pada webinar ‘MIDF Conversations’ pada Khamis.
Abdul Jalil berkata bahagian hospitaliti BCorp beransur-ansur keluar dari pasaran seperti China dan Vietnam selain mengalihkan tumpuan kepada perniagaan lima bintang di lokasi seperti Jepun.
Beliau berkata pihaknya berminat dengan Jepun kerana ia merupakan pasaran hospitaliti yang baik bagi syarikat.
“Berdasarkan pengalaman, kami mempelajari bahawa sekiranya kami mahu menjalankan perniagaan hospitaliti yang melibatkan isu seperti bangunan dan tanah, kami perlu melaksanakannya di negara maju dengan struktur kawal selia, infrastruktur perundangan dan peraturan undang-undang yang tepat,” katanya.
Beliau juga berkata BCorp telah membuat tawaran jualan bagi dua resort di Seychelles, sebuah resort di Sri Lanka serta masing-masing sebuah hotel di Hanoi, Vietnam dan Filipina.
Pihaknya membuat tawaran jualan hartanah itu bagi prospektif geopolitik dan merasakan tidak lagi berdaya saing, katanya.
Abdul Jalil berkata pandemik telah menyedarkan syarikat bahawa ia perlu menjadi lebih fokus terutama bagi bahagian hospitaliti.
Mengenai rancangan strategik tiga tahun BCorp 2021-2024 untuk mengurangkan hutang kepada RM2.5 bilion daripada RM5 bilion pada masa ini, Abdul Jalil berkata pihaknya akan terus menjual aset bukan teras dan tidak akan membeli aset lain buat masa ini.
“Saya memberitahu Tan Sri Vincent Tan bahawa kami tidak mahu lagi membuat sebarang tawaran buat masa ini, dan hanya akan menumpukan penjualan selain menjadi yang terbaik dalam beberapa aspek yang kami sedang lakukan daripada pandai dalam semuanya perkara,” katanya.
Selain itu, beliau berkata pihaknya tidak tergesa-gesa untuk menjadikan anak syarikat BCorp, Berjaya Land Bhd (BLand) sebagai syarikat persendirian atau menjual Berjaya Sports Toto Bhd, walaupun beliau lebih cenderung supaya langkah tersebut dilakukan lebih cepat berbanding kemudian.
“Saya sendiri tidak tahu jangka masa untuk menjadikan BLand sebagai syarikat persendirian, ia melibatkan elemen pendanaan kerana langkah mengeluarkannya dari pasaran akan memerlukan perbelanjaan,” katanya.
Bagi penjualan Berjaya Sports Toto, beliau berkata ia merupakan perniagaan yang amat dikawal selia, dan keutamaan beliau adalah berada dalam perniagaan yang ‘tidak terlalu dikawal selia’.
“Saya tidak mahu menetapkan satu jangka masa, namun jika ia mencecah harganya, kami akan jual. Saya tidak terlalu tergesa-gesa kerana syarikat ini memberi dividen yang baik,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial