AM

Berita Ringkas Bernama: 15 Julai

15/07/2021 06:01 PM

MBM DUKUNG SYOR SPRM SUPAYA AKTA ISYTIHAR HARTA DIGUBAL

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Majlis Belia Malaysia (MBM) mendukung syor dan saranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya satu akta mewajibkan anggota pentadbiran dan Ahli Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing digubal.

MBM dalam kenyataan menyatakan pengubalan akta itu akan menjadi mekanisme berkesan untuk mewajibkan golongan terbabit mengisytiharkan harta mereka kerana sebelum ini, tiada mekanisme penguatkuasaan undang-undang berhubung perkara itu.

MB turut yakin langkah itu merupakan agenda governan yang baik dalam memastikan ketelusan serta mencegah rasuah dan salah guna kuasa, selain menjadi peringatan kepada pemimpin agar mengekalkan gaya hidup sederhana serta menyantuni kehidupan rakyat terbanyak.

-- BERNAMA

 

23 KES COVID-19 DIKESAN DARIPADA PROGRAM SARINGAN PSC-19 

GEORGE TOWN, 15 Julai (Bernama) -- Program saringan secara besar-besaran di Pulau Pinang mengesan 23 kes positif  COVID-19 sejak bermulanya Penang Saring COVID-19 (PSC-19) pada 5 Julai.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata ujian awal yang dijalankan semasa program PSC-19 adalah melalui kaedah RTK-Antigen, yang mendapati 35 daripada 1,664 penduduk Pulau Pinang disahkan positif.

"Mereka yang didapati positif dalam ujian RTK-Antigen dipanggil semula untuk menjalani ujian kedua COVID-19 melalui kaedah Tindak Balas Berantai Polimerase Masa Nyata (RT-PCR) untuk hasil yang tepat dan mendapati 23 daripadanya positif," katanya kepada pemberita di Padang Taman Kejiranan Macallum, lokasi program PSC-19 hari ini.

-- BERNAMA

 

PARKIR HTJ DIJADIKAN HOSPITAL HIBRID

SEREMBAN, 15 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan akan menjadikan parkir kereta di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) dekat sini sebagai hospital hibrid susulan peningkatan kes wabak COVID-19 di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata langkah itu bagi mewujudkan lebih banyak bilangan katil unit rawatan rapi (ICU) COVID-19 berikutan wad berkenaan pada masa ini telah beroperasi dalam kapasiti penuh.

"Ia telah mendapat kelulusan dan dijangka dibuka dalam masa terdekat ini," katanya menerusi siaran langsung di laman Facebook rasminya hari ini.

Selain HTJ, tiga hospital di negeri itu yang mengendalikan pesakit COVID-19 ialah Hospital Tampin, Hospital Jempol dan Hospital Jelebu.

-- BERNAMA

 

KAMPUS INDUK UTM BEROPERASI SEBAGAI PPV MULAI 19 JULAI INI

JOHOR BAHRU, 15 Julai (Bernama) -- Kampus induk Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai bakal dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) dan akan beroperasi mulai Isnin ini (19 Julai) hingga 31 Okt depan, dengan kapasiti kira-kira 1,500 dos vaksin sehari.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Pengurusan PPV UTM Abdul Razib Shahuddin berkata Dewan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS), UTM akan menjadi antara PPV Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Integrasi yang beroperasi setiap hari bermula 8 pagi hingga 9 malam.

"Sebuah jawatankuasa khas diwakili pelbagai Pusat Tanggungjawab dalam UTM dengan kerjasama Pejabat Daerah Kulai dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor diwujudkan untuk memastikan kesemuanya berjalan lancar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

-- BERNAMA

 

ENAM INDIVIDU TERMASUK TIGA WANITA DIREMAN BANTU SIASAT KES PUKUL BERAMAI-RAMAI

KOTA BHARU, 15 Julai (Bernama) -- Enam individu termasuk tiga wanita direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes seorang lelaki dipukul beramai-ramai di Jalan Pasir Tumboh dekat sini pada Selasa lepas, sehingga kejadian itu tular di media sosial.

Perintah reman terhadap keenam-enam suspek warga tempatan yang berusia antara 21 hingga 46 tahun bermula hari ini hingga Sabtu itu mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Mohd Rusli Ahmad di Mahkamah Majistret di sini.

Sebelum ini, tular di media sosial video berdurasi lebih tiga minit, memaparkan kejadian seorang lelaki dipukul beberapa individu termasuk wanita selepas berlaku pertengkaran antara kedua-dua belah pihak.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan