EKONOMI

RCEP BOLEHKAN LEBIH BANYAK PELABURAN DAN AKSES PASARAN UNTUK SYARIKAT MALAYSIA DI INDONESIA

15/07/2021 05:50 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai -- Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan membolehkan lebih banyak pelaburan dan akses pasaran untuk syarikat Malaysia di Indonesia.

Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Jakarta Har Man Ahmad berkata tahap pelaburan Malaysia boleh meningkat sebanyak 22 peratus dan meningkatkan jumlah pelaburan yang masuk ke pasaran Indonesia.

“Malaysia adalah rakan dagang kesembilan terbesar dan sumber import ketujuh terbesar di dunia untuk Indonesia. Produk utama yang dieksport termasuklah komoditi seperti petroleum, minyak sawit serta mesin dan komponen perkakasan untuk menyokong aktiviti pembuatan di Indonesia.

“Selepas RCEP diratifikasi dan dilaksanakan di Indonesia, ia akan memberi banyak peluang kepada sektor-sektor utama seperti automotif dan barangan pengguna yang lain serta dapat memberikan manfaat sepenuhnya dari segi akses pasaran,” katanya pada sesi panel keenam pada hari terakhir Hari Eksport eNasional (eNED) 2021 hari ini. 

Har Man berkata Indonesia juga cuba untuk mengurangkan halangan tarif serantaunya dan ini akan membolehkan proses pelaburan oleh syarikat Malaysia di negara itu ditingkatkan.

RCEP adalah perjanjian perdagangan bebas (FTA) terbesar di dunia dengan menghimpunkan 10 negara anggota ASEAN – Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, termasuk lima rakan FTA ASEAN sedia ada - Jepun, China, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

Setakat ini, negara-negara seperti Singapura, Thailand, China dan Jepun telah meratifikasi perjanjian RCEP manakala Malaysia dijangka meratifikasinya pada akhir tahun ini atau selewat-lewatnya pada suku pertama 2022. 

Secara keseluruhannya, 15 negara anggota RCEP mempunyai anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak US$24.8 trilion (RM104.16 trilion) atau 28.9 peratus daripada KDNK dunia dan membentuk 29.7 peratus daripada jumlah penduduk dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan