EKONOMI

Prospek Solarvest terus cerah peroleh projek RM87 juta

15/07/2021 04:22 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai -- Solarvest Holdings Bhd telah memperoleh kontrak bernilai RM87.5 juta untuk menjalankan kerja-kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) utama bagi loji fotovolta berskala besar (LSS) 20.76 megawatt (MW) di Kulim, Kedah.

Projek yang diperoleh daripada ES Energy Sdn Bhd - sebuah konsortium terdiri daripada Savelite Engineering Sdn Bhd, Moderntent Development Sdn Bhd dan Frasers Construction (M) Sdn Bhd - menandakan kejayaan memperoleh kontrak kedua berturut-turut di bawah kitaran keempat program LSS (LSS4) , kata kumpulan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Davis Chong Chun Shiong berkata kontrak itu akan membantu memperluas pendedahan kumpulan kepada program LSS nasional dan mendapatkan lebih banyak projek tenaga hijau bagi memberi perkhidmatan kepada masyarakat setempat.

"Solarvest telah berkembang selari dengan program LSS sejak pembentukannya, dan kami berharap dapat melihat kesinambungan program ini kerana ia memainkan peranan penting dalam mendorong pertumbuhan industri solar tempatan.

"Kami gembira untuk memaklumkan bahawa kejayaan mendapatkan projek baharu ini menandakan projek LSS ke-11 kami, dan projek kedua di bawah skim LSS4," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu bahawa dengan memperoleh kontrak tersebut, jumlah buku pesanan Solarvest untuk EPCC yang berfungsi di bawah program LSS4 kini bernilai RM130.4 juta.

Kumpulan itu juga berharap dapat meningkatkan lagi penguasaan pasaran dalam program LSS4 bagi beberapa bulan akan datang memandangkan pembida yang disenarai pendek kini di peringkat akhir untuk dianugerahkan kontrak EPCC, katanya.

"Secara keseluruhan, kami memiliki tender projek bernilai RM600 juta hingga RM700 juta di bawah program LSS4 sahaja," kata Chong.

Selain itu, beliau berkata segmen komersial dan perindustrian kumpulan juga berkembang pesat dengan tempahan projek yang kukuh kerana peningkatan tumpuan dalam amalan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam kalangan perniagaan telah menjadi salah satu pemacu pertumbuhan utama.

"Lonjakan dalam permintaan daripada kedua segmen ini meningkatkan jumlah buku pesanan kami yang belum dibilkan kepada RM315.5 juta. Kami yakin momentum akan kekal memandangkan banyak tender yang aktif di rantau ini sekarang," tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan