AM

Laluan kontra Linkedua diaktifkan bermula esok - PLUS

13/07/2021 05:49 PM

JOHOR BAHRU, 13 Julai  -- Laluan kontra di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) akan diaktifkan selama tiga hari bermula esok bagi membolehkan kerja-kerja Projek Pembangunan Gerbang Nusajaya di Iskandar Puteri dilaksanakan dengan lancar.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerusi kenyataan memaklumkan laluan itu akan diaktifkan bermula 8 malam hingga 6 pagi melibatkan kilometer 7.2 hingga 8.5 (arah utara) Tanjung Kupang dan Lima Kedai.

“Laluan kontra dibuka bagi membolehkan kerja-kerja pelancaran rasuk jambatan dan kerja berkaitan dilaksanakan dengan lancar oleh kontraktor Projek Pembangunan Gerbang Nusajaya.

“Justeru, pelanggan yang menghala ke Kuala Lumpur atau Johor Bahru dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini melalui paparan kamera litar tertutup (CCTV) yang disediakan,” menurut kenyataan itu hari ini.

PLUS menasihati pelanggan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan ketika melalui kawasan tersebut dan sekiranya memerlukan bantuan pasukan PLUSRonda, orang ramai boleh menekan butang SOS pada aplikasi tersebut.

“PLUS juga ingin mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua pelanggan lebuh raya sepanjang tempoh tersebut. Demi memastikan keselamatan anda sentiasa menjadi keutamaan kami, kerjasama semua berupaya melicinkan perjalanan di lokasi berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Linkedua merupakan antara laluan utama ke Singapura selain Tambak Johor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan