KUALA LUMPUR, 7 Julai -- Malaysia perlu menggabung pendigitan melalui analisis data dan kaedah komuniti menerusi penyertaan badan bukan kerajaan di peringkat akar umbi dalam usaha mengurangkan jangkitan COVID-19 di dalam negara.
Pakar penyakit berjangkit dari Fakulti Perubatan Universiti Malaya Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman berkata Malaysia seharusnya memiliki perkongsian data yang baik berkaitan kes COVID-19 di dalam negara bagi membolehkan pengesanan kontak dilakukan secara lebih berkesan.
“Kita tidak melakukan pengesanan kontak secukupnya. Negara maju seperti Taiwan, Korea Selatan dan Singapura mengawal pandemik itu menggunakan kaedah pendigitan. Pada masa sama, Malaysia juga sepatutnya melihat cara negara yang kurang maju seperti Bhutan, Rwanda dan Vietnam, yang menggunakan komuniti petugas kesihatan untuk mengekang penularan COVID-19," katanya semasa menjadi ahli panel perbincangan bertajuk ‘Permasalahan dan Solusi’ yang disiarkan secara dalam talian di akaun Facebook Reset Malaysia hari ini.
Dr Adeeba, yang juga anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), berkata perkongsian data yang lebih baik dan tepat mengenai COVID-19 boleh membantu pihak berkuasa melakukan sekatan pergerakan lebih teliti seperti di peringkat negeri atau daerah dan bukan sekatan pergerakan berpusat seperti yang berlaku sekarang.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga ahli panel dalam program itu, turut bersetuju dengan Dr Adeeba bahawa Malaysia perlu melihat cara negara lain yang berjaya mengawal pandemik COVID-19.
Beliau turut mencadangkan penubuhan satu badan yang dianggotai oleh pakar kesihatan, ekonomi dan sosial tanpa penglibatan mana-mana ahli politik untuk segera mengurangkan jangkitan COVID-19 dalam negara.
“Badan itu hendaklah dianggotai oleh bukan orang politik tetapi pakar dalam bidang tertentu seperti virologi,” katanya.
Seorang lagi ahli panel program itu iaitu bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz berkata memandangkan kilang merupakan antara penyumbang peningkatan kes COVID-19, maka perlu ada pasukan mobilisasi yang bergerak ke kilang kecil dan besar di bandar serta luar bandar untuk memberikan vaksin kepada pekerja dalam industri berkenaan.
“Program vaksinasi tidak perlu terlalu bertumpu kepada berfasa tetapi perlu agresif dalam memberikan vaksinasi kepada orang ramai terutama golongan yang banyak menyumbang kepada peningkatan kes,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa khuatir dengan sekolah yang ditutup terlalu lama kerana langkah itu boleh memberikan kesan negatif terhadap perkembangan minda dan psikologi generasi muda.
Katanya selain itu, sikap pemimpin masyarakat yang tidak menunjukkan contoh baik dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) menjadikan masyarakat memandang ringan kepada pematuhan SOP.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial