LUNDU (SARAWAK), 6 Julai -- Sarawak menyasarkan untuk mencapai kadar suntikan vaksin COVID-19 sebanyak 65,000 orang sehari berdasarkan keupayaannya melaksanakan kerja-kerja bagi program berkenaan dan bekalan vaksin yang diterima.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, semalam sahaja sejumlah 56,068 orang telah disuntik menjadikan keseluruhan 1,552,944 orang telah divaksin dengan 1,226,659 daripada mereka mendapat dos pertama dan 326,285 lagi melengkapkan dos kedua.
"Sekarang kita sedang berusaha untuk meningkatkan kepada 60,000 orang sehari untuk memastikan kita dapat mencapai sasaran tersebut menjelang akhir Ogos ini. Saya yakin kita dapat melakukan 65,000 vaksinasi sehari," katanya pada sidang media selepas lawatan ke pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Masyarakat Lundu, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC), berkata sejumlah 313 PPV ditubuhkan di seluruh Sarawak, termasuk di hospital kerajaan dan klinik kesihatan, hospital swasta, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan yang disediakan oleh Angkatan Tentera, pasukan bergerak serta pengamal perubatan.
"Dengan semua jentera berjalan lancar, ditambah pula 430,000 dos vaksin yang tiba setiap minggu sebagaimana diminta dan vaksin Cansino yang dijangka tiba pada pertengahan bulan ini, program vaksinasi ini dapat dijalankan dengan lebih awal dan cepat ke kawasan pedalaman," katanya.
Uggah juga berpuas hati dengan kepantasan program vaksinasi di Lundu, sebuah daerah luar bandar yang terletak di bahagian paling selatan Sarawak dengan 76 peratus penduduknya telah menerima dos pertama, sementara 35 peratus lagi melengkapkan dos kedua.
"Mereka (pasukan vaksinasi) yakin bahawa menjelang 15 Ogos mereka dapat menyelesaikan program vaksinasi di daerah Lundu dan ia mampu dijayakan dengan kerjasama penuh anggota pasukan dan orang ramai," katanya.
Beliau berkata, pasukan bergerak juga pergi ke kawasan pedalaman di daerah itu untuk menjangkau mereka yang sakit dan tidak dapat datang ke PPV.
Sementara itu, mengenai penyakit demam babi Afrika (ASF) Uggah berkata, Sarawak masih bebas daripada penyakit berkenaan tetapi langkah-langkah pencegahan tetap diambil bagi mengelak penularan memandangkan kes telah dikesan di Kalimantan, Indonesia, yang bersempadan dengan Sarawak.
Katanya, ASF bukanlah perkara baru bagi Sarawak kerana pernah berlaku sebelum ini, namun sebagai langkah berjaga-jaga beliau menasihatkan rakyat Sarawak agar tidak membawa babi dan daging babi dari negara jiran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial