EKONOMI

Axiata, Digi bantu lonjakkan dagangan di Bursa Malaysia pada sesi dagangan tengah hari

01/07/2021 01:29 PM

Oleh Nurul Jannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 1 Julai -- Keuntungan yang diraih oleh kaunter Axiata, Digi dan saham berharga murah berjaya membantu melonjakkan dagangan di Bursa Malaysia pada sesi dagangan tengah hari ini.

Pada 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.45 mata atau 0.4 peratus kepada 1,540.08 daripada 1,532.63 pada penutupan petang urus niaga Rabu.

Indeks utama dibuka 0.71 mata lebih tinggi pada 1,533.34 dan bergerak antara 1,533.34 dan 1,541.11 sepanjang sesi pagi hari ini.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi 449 berbalas 327 sementara 395 kaunter tidak berubah, 994 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 2.74 bilion unit bernilai RM1.35 bilion.

Axiata adalah antara tiga kaunter paling untung dalam kalangan saham berwajaran tinggi selepas sahamnya mengukuh sebanyak tujuh sen kepada RM3.81 sementara Digi menambah empat sen kepada RM4.17.

Menurut ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim, saham Digi menyusut 3.0 peratus semalam, justeru, kenaikan hari ini mungkin disebabkan oleh kegiatan membeli saham ketika harga murah.

Pelabur turut menjangkakan sinergi yang kukuh daripada penggabungan Digi-Celcom, katanya kepada Bernama.

"Sebagai contoh, Axiata telah berkongsi anggaran penambahan nilai sebanyak RM8 bilion (berdasarkan nilai bersih terkini) melalui sinergi kos, termasuk penjimatan daripada perbelanjaan modal yang berkaitan dengan rangkaian,” katanya.

Sementara itu, beliau menambah mesyuarat Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC +) yang diadakan hari ini untuk memutuskan fasa seterusnya berkaitan pengeluaran minyak akan menyaksikan reaksi bercampur-campur dalam kalangan pelabur.

Selain daripada Axiata dan Digi, saham berwajaran tinggi IHH menambah 10 sen kepada RM5.57, Sime Darby Plantation naik 11 sen kepada RM4.09, CIMB empat sen lebih tinggi pada RM4.65 dan Genting Malaysia meningkat enam sen kepada RM2.83.

Bagi saham aktif, Serba Dinamik meningkat 1.5 sen kepada 34.5 sen, Sarawak Consolidated menokok 13 sen kepada RM64.5 sen dan Sedania melonjak 11.5 sen kepada 84 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas pulih 43.99 mata kepada 11,200.21, Indeks FBMT 100 menambah 42.84 mata kepada 10,917.93 dan Indeks FBM Emas Syariah lebih tinggi  43.80 mata kepada 12,222.08.

FBM ACE melonjak 145.39 mata kepada 7,094.73 dan FBM 70 meningkat 17.78 mata pada 14,496.77.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 73.66 mata kepada 15,171.97, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lebih tinggi 0.40 mata kepada 186.70 dan Indeks Perladangan meningkat 46.04 mata kepada 6,447.52.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan