AM

Makmal Forensik PDRM akan diperkasakan selari peredaran zaman - Bukit Aman

30/06/2021 06:20 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan penambahbaikan dan memperkasakan Bahagian D10 (Makmal Forensik) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman selaras dengan perkembangan dan trend jenayah semasa.

Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata antara perancangan strategik yang sedang dan telah dilaksanakan termasuk penggunaan teknologi tiga dimensi (3D) dalam rekonstruksi tempat kejadian dalam memantapkan siasatan saintifik dan memantapkan kemahiran dan kompetensi perkhidmatan melalui kursus dan latihan dalam dan luar negara.

"Selain itu, PDRM juga akan memperkasakan Unit Siasatan Tempat Kejadian dengan permohonan perolehan kenderaan yang melibatkan 33 buah kenderaan pacuan empat roda yang dilengkapi dengan peralatan bantuan siasatan di tempat kejadian jenayah," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Bahagian Forensik (D10) dan Bahagian Databank DNA (D13) JSJ di Maktab PDRM Cheras, di sini hari ini. 

Abd Jalil berkata Unit Digital Forensik juga akan diperkasakan sebagai peneraju utama dalam siasatan kes-kes jenayah siber. 

"Antara rancangan PDRM adalah untuk membina sebanyak 14 buah Makmal Forensik Digital Satelit di setiap kontinjen polis negeri dan menubuhkan sebuah Makmal Forensik Siber Seksual di Bukit Aman," katanya.

Beliau berkata penambahbaikan berkenaan perlu dilakukan bagi meningkatkan keupayaan siasatan saintifik PDRM sekali gus meningkatkan kadar penyelesaikan  kes, pertuduhan dan pendakwaan kes di mahkamah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan