EKONOMI

Dialog peroleh baki lima peratus dalam HBP pada harga RM7.5 juta

29/06/2021 08:55 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jun  -- Dialog Group Bhd (Dialog), melalui subsidiari milik penuh Dialog DP Sdn Bhd, telah memperoleh baki lima peratus kepentingan ekuiti dalam Halliburton Bayan Petroleum Sdn Bhd (HBP) daripada Asia Energy Services Sdn Bhd pada harga RM7.5 juta. 

HBP, kontraktor perkhidmatan teknikal bebas yang mempunyai kontrak perkhidmatan medan minyak dengan Petronas Carigali, akan menjadi subsidiari milik penuh Dialog secara tidak langsung, katanya. 

"Ini sejajar dengan strategi kumpulan untuk terus mengembangkan dan memperdalam pelaburan huluannya, serta meningkatkan peluangnya untuk sinergi dengan perkhidmatan teknikal bersepadu kumpulan," kata penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Dialog turut merancang untuk menukar nama HBP kepada Dialog Bayan Petroleum Sdn Bhd.

Perkembangan terbaharu ini menandakan pengambilalihan ketiga dalam HBP selepas ia menyelesaikan pembelian pertama dan kedua kumpulan itu pada 27 Ogos 2019 serta 13 Dis, 2019, yang menyebabkan Dialog D&P memiliki 95 peratus kepentingan. 

HBP menyediakan perkhidmatan kontraktor yang diperlukan untuk meningkatkan rizab yang diperbaharui dari Medan Bayan, luar pesisir Bintulu, Sarawak, dengan tempoh 24 tahun (sehingga 2036) di bawah kontrak perkhidmatan medan minyak yang ditandatangani dengan Petronas Carigali.

Dialog berkata ia kekal optimis terhadap prospek bagi Medan Bayan dan yakin HBP akan terus menyumbang secara positif kepada hasil kumpulan, sejajar dengan strateginya untuk menjana pendapatan berulang jangka panjang.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan