AM

Persidangan dunia mengenai Perubatan Senaman ke-5 berlangsung secara maya pada Oktober

28/06/2021 05:53 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun -- Latihan fizikal dapat membantu mencegah dan mengurus penyakit tidak berjangkit (NCD), yang dilihat sebagai komorbiditi yang meningkatkan risiko kematian kepada mereka dijangkiti COVID-19. 

Pengerusi penganjur Jawatankuasa Saintifik Antarabangsa mengenai Perubatan Senaman Datuk Seri Jessy Lai berkata untuk mencegah NCD dan kekal sihat, senaman rutin adalah penting.

Lai berkata, Persidangan Dunia Mengenai Perubatan Senaman (WCEM) 2021 kali ke ke-5 bertemakan ‘Hidup dengan COVID-19, Mengubah Gaya Hidup Memerangi NCD’ yang akan diadakan secara maya dari 29 Oktober hingga 2 November akan membahas secara mendalam bagaimana senaman dapat membantu mengekalkan kesihatan yang baik.

Beliau berkata persidangan itu merangkumi 12 kategori utama dengan topik termasuk senaman dan jantung; senaman dan kanser; senaman dan sistem imun; senaman dan sosiologi; senaman dan pendekatan masyarakat; senaman dan kanak-kanak dan promosi gaya hidup sihat.

"Persidangan yang diadakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan itu akan menampilkan ucap utama mengenai Penuaan Aktif oleh Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang memulakan program penuaan aktif pertama di Malaysia di kawasan parlimennya.

"Tahun ini program sainstifik kami memasuki tahun ke-5, kami sentiasa mengekalkan objektif kami iaitu dalam disiplin perubatan senaman bahkan turut memperkukuh usaha kolektif untuk kekal selamat," katanya, sambil menambah sekitar 35 negara dijangka menyertai persidangan itu.

Lai juga menyarankan pemaju perumahan di negara ini mempertimbangkan untuk memasukkan klinik senaman dalam projek mereka bagi mendorong perubahan tingkah laku dan mengurangkan risiko NCD.

Beliau juga menasihati orang ramai agar kekal cergas dengan melakukan senaman di rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan. 

Untuk maklumat lanjut, sila lawati dan mendaftar di www.wcem.com.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan