EKONOMI

DNeX dapat kelulusan pemegang saham beli kepentingan dalam SilTerra

23/06/2021 09:23 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun -- Dagang NeXchange Bhd (DNeX) mendapat kelulusan daripada pemegang sahamnya untuk cadangan pengambilalihan 60 peratus kepentingan ekuiti dalam SilTerra Malaysia Sdn Bhd (SilTerra) pada harga RM163.8 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, DNeX, penyedia perkhidmatan teknologi maklumat itu berkata ia telah bekerjasama dengan Beijing Integrated Circuit Advanced Manufacturing and High-End Equipment Equity Investment Fund Center (Limited Partnership), juga dikenali sebagai CGP Fund untuk mengambil alih SilTerra pada 31 Mac, 2021.

SilTerra adalah anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Urusan Kumpulan Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata DNeX dan CGP Fund mahu mengembangkan SilTerra menjadi penggiat teknologi yang mampu bersaing di pasaran global.

"Sebagai sebahagian daripada kerjasama, kami menjangkakan memulihkan SilTerra dalam dua tahun, dengan fokus segera pada peningkatan penggunaan kilang, mengoptimumkan kos dan pengembangan akses pasaran," katanya.

Syed Zainal berkata susulan prospek kukuh sektor tersebut, pengambilalihan yang tepat pada masanya dan strategik serta kepelbagaian aktiviti utama kumpulan membolehkan DNeX mendapat manfaat daripada pendapatan positif mampan dan meneroka potensi pertumbuhan masa depan dalam jangka sederhana hingga panjang.

“sektor semikonduktor kini menyaksikan permintaan melebihi bekalan dan keadaan itu dijangka berterusan dengan peningkatan permintaan sehingga 2024,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan