AM

Tapak pembinaan perumahan diarah tutup langgar SOP PKP 3.0

23/06/2021 07:41 PM

TELUK INTAN, 23 Jun  -- Sebuah tapak pembinaan perumahan di Taman Lagenda di sini diarah tutup serta-merta bermula hari ini selepas pemajunya didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata notis penutupan itu dikeluarkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Perak kerana projek pembinaan itu tidak disenaraikan sebagai kerja kritikal dalam sektor pembinaan.

"Selain itu, notis turut dikeluarkan ke atas pemaju itu kerana hasil pemeriksaan di tempat penginapan rumah kongsi di situ berada dalam keadaan sangat kotor dan tiada kebersihan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas selesai Operasi Bersepadu Pematuhan SOP PKP 3.0 COVID-19 bagi sektor perkilangan dan pembuatan serta tapak pembinaan di sekitar daerah Hilir Perak yang turut disertai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Perak SAC Mohd Alwi Zainal Abidin.

Seramai 65 pegawai dan anggota polis dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Pejabat Kesihatan Daerah, Majlis Perbandaran Teluk Intan terbabit dalam operasi selama lima jam bermula 10 pagi itu.

Media difahamkan pihak CIDB akan mengeluarkan kompaun terhadap pemaju tapak pembinaan perumahan tersebut dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Ahmad Adnan berkata pihaknya mengeluarkan lima kompaun iaitu empat kompaun ke atas peniaga di Pasar Besar Teluk Intan dan seorang pekerja di kilang memproses sawit kerana gagal mengimbas kod MySejahtera yang setiap seorang dikenakan sebanyak RM1,500.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan