EKONOMI

4 kempen E-Bazar Selangor catat jualan terus RM144.7 juta - Amirudin

23/06/2021 06:54 PM

SHAH ALAM, 23 Jun  — Empat kempen E-Bazar kelolaan kerajaan negeri Selangor berjaya mencatatkan jualan terus berjumlah RM144.7 juta serta mewujudkan kesan riak (ripple effect) sebanyak RM2.95 bilion.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata empat kempen E-Bazar tersebut terdiri daripada E-Bazar Raya 2020 yang dianjurkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama, disusuli dengan E-Bazar 11.11 Mega Sales, E-Bazar CNY 2021 ketika PKP 2.0 pada tahun ini dan E-Bazar Raya 2021.

Menurutnya, kerajaan negeri telah membuat pelaburan sebanyak RM7 juta untuk kempen tersebut yang disertai seramai 294,119 penjual termasuk 74,837 penjual baharu. 

“Penganjuran kempen ini membolehkan ekonomi negeri terus bergerak sambil mewujudkan saluran penjualan alternatif agar perniagaan tempatan dapat bertahan, terutama di bawah pelbagai sekatan akibat daripada pandemik COVID-19,” katanya pada sidang media anjuran Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (Sidec) yang diadakan secara maya, hari ini.

Beliau berkata bagi tempoh berbaki tahun ini, dua lagi kempen e-dagang telah dirancang untuk diadakan termasuk kempen jualan akhir tahun yang akan turut melibatkan penyedia platform e-dagang iaitu Shopee dan Lazada. 

Pada sidang media tersebut, Amirudin turut melancarkan Sidec TV yang ditubuhkan bertujuan untuk memberi manfaat dan berkongsi ilmu pengetahuan kepada mereka yang ingin menceburi bidang e-dagang atau memulakan perniagaan dengan melayari laman web https://www.sidec.com.my/sidectv/

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan