BERITA COVID–19   Kerajaan sasar basmi kemiskinan tegar menjelang 2025 | RMK12 tetapkan hala tuju strategik berasaskan semangat Keluarga Malaysia - PM  | Kedudukan kewangan kerajaan dijangka bertambah baik pada tahun 2023 - PM Ismail Sabri | 83.7 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi setakat Ahad | Terengganu mula vaksinasi gelandangan | 
AM

Kedah terus terima pelaburan besar walaupun pandemik - Sanusi

23/06/2021 05:49 PM

ALOR SETAR, 23 Jun -- Kedah terus menerima pelaburan besar walaupun dalam persekitaran pandemik COVID-19 dan terkini membabitkan projek bernilai RM8.5 bilion dari syarikat Austria yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, delegasi pelabur mewakili Austria Technologie & Systemtechnik AG yang diketuai oleh Duta Besar Austria ke Malaysia, Micheal Postl,  sudah melawat tapak pembangunan kilang tersebut di Taman Perindustrian Berteknologi Tinggi Kulim (KHTP).

Menurutnya, syarikat itu merupakan pengeluar utama dunia bagi produk papan litar bercetak (PCB) berkualiti tinggi dan papan litar substrat bersepadu (IC).

"Perbincangan lanjut dengan syarikat Austria semalam telah berjalan dengan baik. Mereka tunjukkan kesungguhan yang sangat positif dan bidang kuasa kita sebagai kerajaan negeri ialah menyediakan tanah dengan keluasan mencukupi.

"Ini merupakan satu pencapaian besar bagi Kedah kerana dalam keadaan dilanda pandemik, kita masih terima pelabur besar sekali gus menyediakan peluang pekerjaan dan membantu pertumbuhan ekonomi negara," katanya pada sidang media secara maya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi syarikat tersebut menjangkakan dapat memulakan kerja-kerja pembinaan kilang itu pada September atau November 2021 sehingga tahun depan.

Beliau juga dimaklumkan bahawa kilang itu akan dibangunkan dalam beberapa fasa dan cabarannya adalah untuk menyediakan tenaga kerja mahir.

Menurutnya, kira-kira 5,000 orang jurutera dalam disiplin berkaitan diperlukan oleh syarikat itu dalam fasa pertama yang dijangka beroperasi pada 2024 manakala fasa seterusnya memerlukan khidmat 10,000 tenaga mahir.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan berunding dengan institusi pengajian tinggi di seluruh negara untuk membekalkan tenaga mahir yang bersesuaian dengan kehendak pasaran.

“Kita perlu (melahirkan) penuntut dengan kemahiran khusus atau mengikuti bidang berkaitan bagi memastikan sumber tenaga mencukupi untuk menyambut pelabur, khususnya di Kedah,” katanya.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan