EKONOMI

Pharmaniaga tingkatkan pengedaran vaksin melalui suntikan kewangan COVID-19 StanChart

23/06/2021 05:33 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun -- Pharmaniaga Bhd akan meningkatkan pengedaran vaksinnya melalui pembiayaan yang diperoleh menerusi komitmen pembiayaan bukan untuk keuntungan bernilai US$1 bilion daripada Standard Chartered Malaysia bagi memerangi COVID-19.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata kemudahan pembiayaan itu akan membantu kumpulan farmasi mengimport dan mengedarkan vaksin dengan lebih cepat kepada rakyat.

“Dalam tempoh seperti ini, kita perlu memanfaatkan kekuatan dan sumber satu sama lain dalam memerangi musuh yang sama, virus COVID-19,” katanya dalam kenyataan bersama hari ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia Abrar A. Anwar berkata akses kepada dana penting untuk pemulihan ekonomi Malaysia berikutan krisis yang besar ini.

Diumumkan semasa meningkatnya pandemik pada awal 2020, inisiatif pembiayaan Standard Chartered memberikan dana bukan berasaskan keuntungan kepada syarikat yang terlibat dalam memerangi COVID-19. Ia turut meliputi pengeluar dan pengedar yang merancang untuk menukar kepada pengeluaran barangan dan perkhidmatan perlu dalam memerangi pandemik.

“Dengan komitmen yang tinggi terhadap Malaysia selama lebih satu abad, menjadi tanggungjawab kami untuk menyumbang dalam menyokong usaha vaksinasi negara dengan meningkatkan kepentingan komersial dan menggunakan dana COVID-19 kami melalui pelanggan kami seperti Pharmaniaga,” katanya.

Pembiayaan tambahan ini dijangka menyumbang secara positif kepada pelaksanaan vaksin Malaysia dengan menyediakan akses kepada vaksin untuk lebih ramai orang dalam negara berusaha untuk mencapai imuniti kelompok pada akhir 2021.

Kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilihat sebagai faktor kepada pertumbuhan dan pemulihan ekonomi Malaysia pada tahun ini. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan