AM

Malaysia, Brunei tingkat kerjasama sokong industri seni dan budaya

23/06/2021 04:48 PM

PUTRAJAYA, 23 Jun -- Malaysia dan Brunei akan meningkatkan kerjasama untuk meneroka potensi kemajuan dalam industri pelancongan budaya bagi membantu serta memberi sokongan kepada penggiat dan pemain industri seni dan budaya kedua-dua negara.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan perincian mengenai kerjasama itu akan dibincangkan antara Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri dengan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei Mej Jen (B) Datuk Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan Abidin dalam masa terdekat.

Perkara itu dinyatakan secara ringkas ketika Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei itu membuat panggilan telefon kepada Nancy untuk mengucapkan takziah atas pemergian ibunya pada Khamis lepas.

Menurut MOTAC, Nancy memberikan contoh program Asia Traditional Orchestra (ATO) 2020 anjuran Bahagian Hubungan Antarabangsa Kebudayaan MOTAC dengan kerjasama pihak Asia Cultural Center (ACC) Gwanju, Korea Selatan yang diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Korea Selatan.

Program menerusi platform digital itu diadakan bertujuan memperkukuhkan kerjasama berkaitan pertukaran budaya serta mengangkat seni persembahan tradisional ke peringkat antarabangsa. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan