KUALA LUMPUR, 23 Jun -- Anak syarikat milik penuh Lagenda Properties Bhd, LPB Development Sdn Bhd membeli sebidang tanah pegangan pajak di Kuantan, Pahang dengan harga RM33 juta.
Lagenda dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata LPB Development memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan SST Development Sdn Bhd untuk membeli tanah pegangan pajak berukuran kira-kira 2.023 juta meter persegi.
“Kami berhasrat untuk melaksanakan pembangunan perbandaran mampu milik di tanah tersebut, yang akan menawarkan gabungan pelbagai bangunan perumahan mampu milik dan bangunan komersial dengan anggaran nilai pembangunan kasar kira-kira RM1 bilion,” katanya.
Kumpulan itu dijangka memulakan sebahagian daripada projek pembangunan tersebut menjelang 2023.
“Memandangkan cadangan pembangunan itu masih dalam peringkat perancangan awal, kos pembangunan kasar tidak dapat ditentukan pada ketika ini,” katanya.
Menurut syarikat itu, sumber pembiayaan bagi cadangan pembangunan tersebut hanya akan ditentukan selepas butiran terperinci dan kos pembangunan dimuktamadkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial