CYBERJAYA, 23 Jun -- Pelaksanaan pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) adalah seperti yang dirancang sejak ia bermula September 2020, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
MCMC memaklumkan dua Laporan Suku Tahun JENDELA yang memperincikan mengenai perkembangan dan kemajuan terkini pelaksanaan JENDELA telah diterbitkan iaitu pada 31 Dis 2020 dan 31 Mac 2021.
MCMC dalam kenyataan hari ini berhubung pertanyaan Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh mengenai perkembangan pelan JENDELA memaklumkan Laporan Suku Tahun JENDELA ketiga dijadual akan diterbitkan pada 30 Jun ini (2021).
Menurut Laporan Suku Tahun JENDELA pertama bagi tempoh sehingga 31 Dis 2020, sejumlah 456,757 premis telah diliputi dengan jalur lebar tetap berbanding sasaran awal 352,101 premis, sebanyak 876 tapak baharu bagi peluasan jalur lebar mudah alih telah didirikan berbanding sasaran sebanyak 940, manakala sebanyak 16,367 menara sedia ada telah dinaik taraf berbanding sasaran awal 16,214
Menurut Laporan Suku Tahun JENDELA kedua setakat 31 Mac 2021, sejumlah 292,826 premis telah diliputi dengan jalur lebar tetap berbanding sasaran awal iaitu 221,539 premis, 29 tapak baharu telah didirikan berbanding sasaran awal 25 tapak, manakala 3,278 menara sedia ada telah dinaik taraf berbanding sasaran 3,223 menara.
Liputan 4G telah ditingkatkan kepada paras 93.51 peratus berbanding 92.03 peratus pada suku sebelumnya, dan secara keseluruhannya, 5.7 juta premis telah diliputi dengan gentian optik setakat 31 Mac lepas, kata MCMC.
Bagi sasaran JENDELA tahun ini, MCMC berkata penyambungan gentian optik kepada 1,245,452 premis tambahan dan penaiktarafan 12,499 stesen pemancar sedia ada kepada teknologi 4G untuk peluasan liputan dan peningkatan kelajuan merangkumi perancangan di bawah Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagar (USP) dan Komersial akan dilaksanakan.
Sasaran JENDELA pada 2021 juga adalah menamatkan rangkaian 3G dan pemindahan spektrum bagi penggunaan teknologi 4G bagi meningkatkan kelajuan perkhidmatan, selain membina 193 tapak menara komunikasi baharu (komersial), katanya.
MCMC berkata bagi kawasan yang kurang penduduk di kawasan pedalaman, pemasangan dan penyediaan perkhidmatan capaian jalur lebar melalui satelit (VSAT) di 839 lokasi bagi meningkatkan liputan Internet juga dilaksanakan iaitu di Johor, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor, Sabah dan Sarawak.
“Perkhidmatan tersebut yang dijangka siap menjelang Oktober 2021 akan berfungsi sebagai penyelesaian jangka pendek yang cepat,” kata MCMC.
Bagi tahun 2022 pula, MCMC berkata perancangan pelaksanaan JENDELA akan melibatkan sasaran untuk menyambung gentian optik kepada 929,631 premis tambahan dan pembinaan sebanyak 1,661 menara komunikasi baharu di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Maklumat berkenaan JENDELA dipaparkan untuk rujukan orang ramai di laman sesawang myJENDELA iaitu https://myjendela.my termasuk inti pati laporan suku tahun.
Dalam perkembangan lain, MCMC berkata pihaknya masih menerima banyak aduan terutamanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Bagi aduan yang boleh dibantu dengan penyelesaian sementara jangka pendek, ia dilaksanakan dengan kadar segera. Bagi aduan yang tidak dapat disediakan penyelesaian jangka pendek, penerangan diberi untuk membantu pengadu memahami perancangan yang disediakan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial