KUALA LUMPUR, 23 Jun -- Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) terus komited dalam meningkatkan tahap keselamatan pengunjung bagi mengurangkan risiko kemalangan ketika aktiviti pendakian serta riadah di dalam kawasan Hutan Simpan Kekal.
Pegawai Hutan Daerah Cameron Highlands, Jabatan Perhutanan Pahang Arifhadi Johari Affandi berkata JPSM menetapkan bilangan individu yang dibenarkan masuk ke hutan pada satu-satu masa bagi melindungi sumber seperti denai selain memberi peluang kepada pengunjung untuk menghargai alam sewaktu pendakian.
“Faktor yang diambil kira dalam mengawal jumlah individu masuk ke hutan ialah lebar dan panjang denai, keluasan yang diperlukan oleh pendaki serta purata masa pendakian,” katanya ketika Webinar Perhutanan Cabaran SAR di Kawasan Hutan Simpan Kekal.
Arifhadi berkata sekiranya kapasiti tidak dikawal, sumber hutan seperti denai akan menjadi lebih lebar disebabkan penggunaan yang kerap.
Beliau berkata langkah pencegahan kemalangan turut dilakukan seperti menyelenggara denai sekurang-kurangnya dua kali setahun, menyediakan papan tanda ‘checkpoint’ dan bekerjasama dengan persatuan malim gunung tempatan.
“Sekiranya ada laluan yang tidak jelas, kami akan merentangkan pita kerana antara punca utama pendaki sesat terdapat banyak laluan di denai-denai pendakian,” katanya.
Webinar yang dikendalikan oleh Pengarah Forest Eco-Park dan Hutan Taman Negeri Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Mohd Yussainy Md Yusop turut disertai oleh Timbalan Komander Pasukan Khas STORM Pahang Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Muhamad Haziq Hazmi.
Muhamad Haziq menasihati pengunjung yang sesat di dalam hutan agar kekal berada di satu tempat bagi memudahkan operasi mencari dan menyelamat.
“Mangsa yang sesat lazimnya akan panik dan bergerak untuk mencari jalan keluar tetapi ini salah kerana lagi jauh anda berjalan, lagi sukar pasukan penyelamat jumpa anda dalam waktu yang singkat,” katanya.
Orang awam yang ingin melakukan aktiviti riadah di dalam hutan turut dinasihatkan menyimpan nombor telefon balai bomba atau polis yang berhampiran dengan lokasi riadah bagi mempercepat operasi menyelamat.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial